KUALA LUMPUR 4 Nov. – Bersatu menggantung keahlian Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid selama tempoh empat tahun susulan pendiriannya menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin, memaklumkan keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu bersidang semalam, bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan pelanggaran Perlembagaan oleh Iskandar.
“Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga surat penjelasan daripada Datuk Iskandar Dzulkarnain, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu.
“Sehubungan dengan itu, Datuk Iskandar Dzulkarnain digantung keahliannya berserta semua jawatan dalam parti yang dipegang bagi tempoh empat tahun berkuat kuasa dari tarikh keputusan dan hukuman, iaitu 3 November 2023 (semalam),” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Iskandar dalam satu kenyataan sebelum ini memutuskan untuk menyokong kepemimpinan Anwar selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.
Selain Iskandar, Ahli Parlimen Labuan daripada Perikatan Nasional (PN), Suhaili Abdul Rahman turut menyatakan sokongan serupa kepada kepemimpinan Anwar.
Suhaili dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, serta masalah bekalan air dan elektrik di sana.
