SEPANG: Dengan hanya RM4,990, sebanyak 364 jemaah berpeluang mengerjakan umrah dengan kemudahan semasa yang ditawarkan syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia).
Pakej Istimewa@Khas Umrah itu ditawarkan pada bulan ini (Oktober) dengan 183 jemaah telah selamat berlepas ke Makkah pada Jumaat lalu manakala kumpulan kedua terdiri daripada 181 jemaah berlepas awal pagi tadi.
Menurut Pengerusi merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, tawaran itu diperkenalkan bagi membantu jemaah yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan tidak mampu mengerjakan umrah dengan harga semasa.
Katanya, pakej itu juga bertujuan membantu meringankan beban golongan B40 menunaikan umrah pada harga mampu milik.
“Pakej 12 hari 10 malam itu merangkumi kos penginapan, penerbangan dan makan minum jemaah sepanjang melaksanakan ibadah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Ida Riswana berkata, pihak Andalusia akan membincangkan sama ada pakej istimewa itu akan diteruskan pada masa depan.
Setakat ini, katanya, kira-kira 38,000 jemaah sudah mendaftar bagi pakej musim 1445H manakala bagi musim 1444H, Andalusia telah mengendalikan 48,000 jemaah.
Kos semasa yang ditawarkan bermula daripada RM6,990 bagi pakej 12 hari 10 malam merangkumi penerbangan, hotel dan makan minum.
