Siap siaga hantar pasukan pengaman ke Palestin

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersiap siaga untuk menghantar pasukan tentera pengaman ke Palestin jika Kementerian Luar membuat keputusan mengenai perkara itu, kata Menterinya Mohamad Hasan.

Beliau berkata, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu juga termasuk pasukan pengaman Malaysia Battalion (MALBATT) yang sedang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) jika diperlukan segera antaranya bagi tujuan evakuasi rakyat Malaysia di kawasan terkesan.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada sebarang keputusan dibuat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar tentera pengaman ke Palestin.

“Keputusan menghantar tentera pengaman secara sepihak (uniteral) ke sesuatu kawasan bergolak bukan keputusan mudah dan memerlukan penilaian pelbagai pihak termasuk Kementerian Luar, pandangan negara bergolak atau kritikal dan paling utama perlu mendapat mandat jelas daripada PBB,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata, MINDEF mengikuti perkembangan Palestin secara dekat, selain Malaysia komited memberi sokongan terhadap usaha mencapai keamanan sejagat di bawah panji PBB.

Dalam pada itu, katanya, sejak 1960, ATM terbabit dalam 37 misi sama ada sebagai tentera pengaman atau tentera pemerhati seperti misi pengaman di Congo, Namibia, Somalia, Kemboja dan Bosnia Herzegovina, Timor Timur dan terbaru di selatan Lubnan.

Sehingga kini ATM masih terbabit dalam lima misi antarabangsa di bawah Misi PBB, iaitu satu Misi Pengaman Lubnan mulai 2007 dan empat misi pemerhati Peluru Berpandu Penstabilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Republik Demokratik Congo (United Nation Organization Stabilization Missil DR Congo) sejak 2000.

“Tiga lagi pembabitan anggota ialah menerusi misi Sahara Barat (MINURSO sejak 1991, United Nations Interim Security Force for Abyei (UNISFA) di wilayah Abye sejak 2006 dan Yaman sejak 2021,” katanya.

Mengenai saranan Shahidan Kassim (PN-Arau) untuk menyuarakan cadangan kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mohamad berkata, Malaysia tertakluk kepada PBB.

“Tentera pengaman perlu melalui PBB dan kita (MINDEF) perlu tunggu Kementerian Luar, kita akan ke sana jika ada keputusan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment