KUALA LUMPUR 30 Okt. – Kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang diapungkan akan terus berada pada kadar munasabah selepas subsidi dan kawalan ditamatkan sepenuhnya bermula Rabu, 1 November ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, bagaimanapun berkata subsidi dan kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.
Mohamad berkata, penamatan subsidi ayam mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam sudah mulai stabil.
“Penamatan harga kawalan ayam menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan, selain dapat meningkatkan pelbagai insiatif sosio-ekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Penamatan Kawalan Harga dan Subsidi Ayam di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini, hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan menimbang untuk mengapungkan harga telur dan ayam tidak lama lagi selepas mendapati trend semasa menunjukkan bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.
Beliau berkata, pelaksanaan tersebut membolehkan pasaran tempatan dapat berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran, dan perincian mengenai langkah itu akan diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam dua minggu, selepas berunding dengan pihak pengeluar.
Anwar berkata, langkah juga dilakukan bagi memastikan manfaat subsidi yang diberikan sebelum ini hanya dinikmati rakyat yang berhak, bukannya warga asing dan golongan kaya memandangkan sejak 2022, kerajaan mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion bagi menampung kos ayam dan telur.
Mengenai penjimatan hasil penamatan subsidi dan kawalan harga ayam, Mohamad berkata, kerajaan membelanjakan RM100 juta bagi subsidi ayam malahan sejak Februari 2022 kerajaan menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam.
“Rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi, di mana ketika ini, ia turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
“Pada masa sama, orang ramai diminta membantu kerajaan supaya jangan melakukan pembelian panik…beli ikut kegunaan biasa, jangan dua tiga hari ini kita beli untuk stok kerana itu akan menyebabkan berlaku ketidakcukupan sementara,” katanya.
Mohamad berkata, melalui sesi libat urus bersama pemain industri pada 22 Oktober lalu, kerajaan mendapatkan komitmen daripada pihak industri supaya harga ayam di ladang yang dikeluarkan tidak mencatatkan kenaikan ketara sehingga membebankan pengguna.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).
“Ia bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab di peringkat runcit.
“Kerajaan juga bersedia mendapatkan bekalan tambahan daripada sumber luar, jika terdapat kekurangan daripada segi bekalan yang menyebabkan kenaikan harga secara mendadak,” katanya.
Pada masa sama, kerajaan akan terus memberi penumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif daripada segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana.
Katanya, kerajaan juga akan memberikan skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti dan program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.
“Langkah ini akan memberi peningkatan daripada segi akses bekalan secara terus daripada penternak komuniti kepada pemborong di pasaran,” katanya.
