UMNO masih ada asas kuat tetapi perlu berubah

KUALA LUMPUR 30 Okt. –  UMNO memerlukan individu yang berkualiti untuk memimpinnya, seseorang yang mampu untuk membawa perubahan berbeza pada masa depan, kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut baginda, UMNO masih memiliki asas sebagai sebuah parti Melayu yang kuat tetapi perlu melakukan perubahan dan ada pemimpin yang perlu pergi.

“Ia perlu ada seseorang yang mampu membawa dinamik berbeza, yang boleh dikaitkan dengan senario negara ketika ini mahupun masa depan.

“Kalau masih dengan sistem begitu lama macam sekarang, saya tak lihat UMNO akan ada masa depan dalam negara, melainkan mereka berubah,” kata baginda ketika menjadi tetamu program podcast Keluar Sekejap malam tadi.

Baginda pada masa sama, juga berharap bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dapat kembali ke pangkuan UMNO bagi memajukan negara.

“Saya nak tengok orang-orang lebih layak berkhidmat dalam kerajaan, bukan berdasarkan senioriti, tetapi kelayakan,” kata baginda.

Kenyataan itu menyaksikan Khairy dan Shahril dalam keadaan tidak bersedia untuk menjawab sebelum mereka beralih kepada topik lain.

Selepas pilihan raya umum lalu, Khairy dipecat daripada UMNO pada Januari lalu manakala keahlian Shahril pula digantung selama enam tahun. Kedua-dua mereka menyatakan bahawa mereka tidak bercadang untuk merayu.

Dalam pada itu, Tunku Ismail berpandangan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu lebih berani dan tegas dalam membuat keputusan membabitkan kepentingan negara.

“Pada pendapat saya, beliau perlu melaksanakan dan membuat lebih banyak keputusan.

“Niat (Anwar) untuk membuat sesuatu itu ada. Sudah tentu beliau mahu melihat negara ini berjaya, itu sudah tentu, namun saya fikir beliau harus lebih banyak membuat pelaksanaan atau lebih berani dalam membuat keputusan.

“Kita tidak boleh jaga hati semua orang. Anda perlu membuat keputusan apa yang terbaik untuk negara.

Dan ada masa mungkin kita akan dibenci atas keputusan yang perlu dibuat demi kebaikan negara. Buat apa saja keputusan demi kebaikan negara, sungguhpun kadangkala perlu jadi pembenci,” katanya.

Tunku Ismail turut senada dengan Khairy bahawa kerajaan kini perlu melaksanakan pelbagai pelan dan perancangan berkait ekonomi dan pembangunan yang diumumkan Anwar sebelum ini.

Tunku Ismail juga menjawab persoalan mengenai rancangannya selepas menjadi Pemangku Raja Johor memandangkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan dilantik Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa 31 Januari depan.

“Agenda pertama saya adalah meminta sedikit kelonggaran dan sokongan daripada kerajaan persekutuan supaya kami boleh menaikkan lagi mutu pendidikan di Johor.”

Mengulas pelantikan Khairy sebagai penasihat belia Johor dan ahli lembaga pengarah kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) biarpun dipecat UMNO, Tunku Ismail berkata, usaha itu bagi memastikan kerelevanan dan penglibatan Khairy bersama rakyat.

Related posts

Leave a Comment