Anwar di Singapura hadir pemukiman

SINGAPURA 29 Okt. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tiba di sini, malam ini untuk lawatan kerja selama dua hari sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Kompleks VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, pukul 10 malam.

Ketibaan Anwar disambut oleh Menteri Luar republik itu, Dr Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.

Turut hadir Menteri Luar, Dr Zambry Abdul Kadir dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dr Azfar Mohamad Mustafar.

Anwar berada di sini pada Januari tahun ini untuk lawatan rasmi sulungnya ke Singapura selaku Perdana Menteri dan pada September lepas beliau menyertai dua sesi khas di Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Institut Milken.

Menurut Wisma Putra, Anwar dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong akan membincangkan langkah-langkah ke arah meningkatkan hubungan dan kerjasama dua hala, termasuk inisiatif-inisiatif baharu untuk kelancaran kesalinghubungan dan pergerakan rentas sempadan serta kerjasama dalam tenaga hijau.

Ini adalah pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin dalam kerangka permukiman.

Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang keusahawanan dan surat sampingan untuk menambah baik peruntukan-peruntukan dalam Perjanjian Bagi Tabung Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura Ketiga (MSBDF).

Anwar juga dijadualkan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.

Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara kedua-dua negara, yang dihoskan secara bergilir-gilir sejak 2007.

Sesi permukiman ini telah tertangguh sejak 2019 kerana pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment