Azam Menteri Komunikasi dan Digital

KOTA KINABALU 29 Okt. – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berazam mahu memastikan tiada pemberhentian kerja berlaku dalam kalangan petugas media, selama beliau menggalas tanggungjawab selaku peneraju kementerian itu.

Fahmi berkata, tempoh pandemik Covid-19 amat mencabar apabila petugas media banyak kehilangan kerja.

“Saya rasa bertuah apabila Perdana Menteri ( Anwar Ibrahim) meminta saya menggalas tanggungjawab dan amanah ini yang membolehkan saya berkhidmat untuk membantu rakan-rakan saya. Tempoh pandemik (Covid-19) menampakkan suatu senario yang amat mencabar.

“Mencabar bukan sahaja dalam sektor ekonomi tetapi juga kepada tuan puan semua. Banyak yang hilang kerja. Kami akan cuba yang terbaik supaya wartawan di masa saya tiada yang kena diberhenti, ” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Kinabalu Press Award 2023 di sini malam ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan turut dihadiri Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah,  Joniston Bangkuai, serta Presiden Sabah Journalist Association (SJA),  Muguntan Vanar.

Fahmi berkata, dalam mendepani situasi itu libat urus bersama petugas media sebelum pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media di Parlimen dijangka Mac tahun depan penting supaya majlis itu antara lain mampu memainkan peranan menjaga kebajikan petugas media.

“Saya telah minta Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (Teo Ni Ching) mengadakan beberapa siri pertemuan dengan petugas media selepas kita selesaikan beberapa perkara. Kami inginkan undang-undang yang lebih komprehensif sebelum melangkah ke hadapan,” katanya.

Fahmi berkata, beberapa tahun sebelum ini, perbelanjaan disalurkan ke media sosial terutamanya Google, Meta dan Tik Tok, justeru satu keadaan menang-menang mesti dicapai terutamanya dengan media sosial dan pertubuhan media.

“Ini adalah penting supaya kita boleh memiliki media yang mampan, untuk mendapatkan media yang mampan kita perlukan libat urus dan situasi menang-menang serta satu kemenangan dalam media yang beretika baik,” katanya.

Related posts

Leave a Comment