Iskandar Dzulkarnain diberi surat tunjuk sebab

KUALA LUMPUR 27 Okt. –  Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diberi surat tunjuk sebab susulan kenyataannya yang melanggar peraturan dan disiplin parti yang diwakilinya, Bersatu.

Setiausaha Agung Bersatu,  Hamzah Zainudin, berkata Lembaga Disiplin parti itu sudah menghantar surat tunjuk sebab sebelum sebarang tindakan diambil terhadap Iskandar Dzulkarnainmengikut perlembagaan parti.

“Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang diadakan malam tadi antara lain membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

“Lembaga Disiplin parti sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada Iskandar Dzulkarnain sebelum sebarang tindakan diambil ke atas beliau mengikut perlembagaan parti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Iskandar Dzulkarnain sebelum ini dilaporkan mengumumkan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Sebelum ini, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang, dalam satu kenyataan mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan berbuat demikian, akan didakwa atas kesalahan rasuah.

Dalam perkembangan lain, Hamzah turut memaklumkan mesyuarat malam tadi yang dipengerusikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin membuat ketetapan bahawa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan berlangsung dari 23 hingga 25 November di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Katanya, Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan dipengerusikan Naib Presiden,  Dr Radzi Jidin.

“Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu bermula dengan perasmian sayap-sayap Bersatu pada 23 November, sebelum diikuti Perhimpunan Agung pada 24 dan 25 November,” katanya.

Related posts

Leave a Comment