KUALA LUMPUR 24 Okt. – Subsidi bersasar memerlukan satu mekanisme yang telus dan cekap untuk memastikan tidak ada sesiapa pun yang tercicir dan terkesan daripada keputusan ini, kata bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, mekanisme ini penting untuk diperhalusi kerana subsidi telah “melekat” dalam ekonomi sebagai komponen struktural dan tanpa mekanisme yang tepat akan menyebabkan rakyat terus terbeban apatah lagi kos sara hidup semakin meningkat.
“Subsidi Kerajaan tidak hanya tertumpu kepada sektor dan segmen tertentu malah merentas keseluruhan sektor dan pasaran, termasuklah pasaran buruh,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, subsidi bersasar dirancang sejak pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diikuti kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi sehingga hari ini belum diperkenalkan.
Justeru, beliau bertanya apakah mekanisme yang akan digunakan oleh Kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar pada tahun hadapan kerana ia tidak disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2024.
Beliau difahamkan Kerajaan telah membangunkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan digunakan Januari tahun depan namun mempersoalkan sama ada sistem ini sudah bersedia dan diuji keberkesanannya.
Ismail menarik perhatian siapakah yang layak diberi subsidi bersasar petrol contohnya dan ciri-ciri mereka yang layak sama ada melalui jumlah pendapatan bulanan atau kapasiti enjin kenderaan.
Sewaktu menjadi Merteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), dicadangkan kereta mempunyai enjin kapasiti 2000cc ke bawah boleh dapat subsidi, tapi akhirnya pelbagai pandangan dan cadangan daripada rakyat, banyak kereta mewah mempunyai enjin kapasiti 2000cc ke bawah.
Sebagai contoh, orang kampung membeli kereta Volvo tapi kuasa enjinya 3000cc, jadi berdasarkan kapasiti kereta Volvo tersebut, mereka tidak boleh mendapat subsidi. Terdapat banyak masalah dan akhirnya perkara ini ditangguhkan,” katanya.
“Ketika saya menerajui Kerajaan, kita mempertahankan pemberian subsidi temasuk memperluaskan kepada ayam dan telur kerana fokus utama kita adalah kesejahteraan rakyat. Walaupun kita tahu kita terpaksa berbelanja besar.
“Kerajaan Keluarga Malaysia memahami rantaian subsidi dalam pasaran dan kita mengambil langkah “bertahan” sehingga ekonomi dan pendapatan rakyat mengukuh sebelum langkah rasionalisasi subsidi boleh dilaksanakan,” katanya.
Bagaimanapun, keadaan hari ini sangat membimbangkan apabila kadar mata wang Ringgit Malaysia terus merudum sehingga mencatatkan prestasi terburuk dalam tempoh 25 tahun,manakala Indeks Bursa Malaysia kekal berada sekitar 1,400 mata.
Justeru beliau berharap Kerajaan bertindak segera bagi memulihkan kembali keadaan untuk memastikan ekonomi negara bergerak pada landasan yang tepat dan memberi keyakinan kepada pelabur.
Sementara itu, beliau turut menyentuh mengenai lima syarikat yang dikesan pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, yang dikatakan menjadi kartel menentukan harga makanan ayam.
“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menjalankan siasatan tetapi sehingga hari ini tidak ada keputusannya. Kenapa mengambil masa yang terlalu lama dan apa keputusannya?,” katanya.
Beliau turut terkejut dengan ketiadaan beras di pasaran sedangkan isu kekurangan bekalan beras ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita mempunyai stok penimbal untuk enam bulan ke hadapan.
“Namun, situasi terkini seolah-olah menunjukkan kita tidak mempunyai stok penimbal yang mencukupi. Saya tidak tahu adakah stok penimbal ada atau tidak ada,” katanya.
