Bermulanya pilihan warna kasut

 

HITAM atau putih? Menjelang musim persekolahan Khamis ini, ibu bapa sudah pun membuat persiapan persekolahan untuk anak-anak mereka termasuklah pilihan kasut sekolah. Apakah pilihan warna kali ini? Putih atau hitam? Walaupun peraturan kasut hitam hanya bermula tahun 2021 tetapi ramai ibu bapa telah membuat pilihan awal yang lebih tepat iaitu kasut hitam.

Bagi yang baharu memulakan persekolahan, pilihan yang lebih tepat adalah hitam. Sebabnya jika anak menjaga kasut itu dengan baik, ia mungkin bertahan sehingga tahun depan, iaitu tahun penguatkuasaan kasut hitam. Adalah lebih menjimatkan membeli sekali daripada membeli untuk kali kedua semata-mata mahu menukar warna. Tak tahulah pula nasib warna ini jika kerajaan bertukar dalam tahun 2020 ini.

Kepada ibu bapa yang anak-anak mereka masih mempunyai kasut putih yang masih elok teruskan memakainya. Tidak perlu rasa bersalah. Lebih-lebih lagi yang tidak mampu, kasut putih yang masih baik atau elok jangan disingkirkan. Teruskan memakainya sehingga perlu atau wajib diganti dengan hitam pada tahun 2021.

Apa yang pasti, jangan membebankan diri dengan menukar warna ini kerana putih masih ada nilai di sekolah pada tahun 2020. Mungkin juga ambil peluang membeli kasut putih yang jatuh harga sementara mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli kasut hitam pada akhir tahun 2020.

Tinjauan The Star menunjukkan, di Johor Bahru, rakyat Malaysia memilih hitam dan warga Singapura pula memilih putih yang harganya lebih murah. Mungkin peniaga mahu menghabiskan stok kasut putih kerana inilah peluang terakhir mereka menghabiskan stok warna itu. Ada yang menawarkan kasut putih percuma bagi setiap pembelian kasut hitam. Bagus juga beli satu percuma satu.

Seorang pengurus kedai Bata seperti dilaporkan The Star memberitahu, harga kasut putih hanya RM5 sepasang, RM9 dua pasang dan tawaran percuma kasut putih untuk setiap pembelian kasut hitam. Di Kuala Lumpur, ada peniaga yang menawarkan harga RM3 bagi sepasang kasut putih.

Bagi peniaga, mereka perlu menghabiskan stok kasut putih menjelang tahun 2021 tetapi paling baik diselesaikan hujung tahun ini. Bagi mereka tidak perlu menunggu hingga 2020 kerana ibu bapa lebih bersedia untuk membeli kasut hitam ketika membuat persiapan awal persekolahan. Pada masa yang sama, permintaan kasut putih juga berkurangan selepas kerajaan mengumumkan penggantian kasut putih kepada hitam.pada Oktober 2018.

Hitam atau putih, diharapkan tidak timbul masalah untuk anak-anak kita di sekolah. Jangan ada sebarang pertikaian mengenai warna ini sepanjang tahun 2020. Berilah masa kepada ibu bapa dan pelajar-pelajar membuat pilihan pada 2020. Kita tidak mahu ada perasaan yang pelbagai sama ada dalam kalangan pelajar atau guru hanya kerana warna. Elakkan sindir menyindir berhubung isu warna ini.

Harus disedari, anak-anak ini datang daripada pelbagai latar belakang keluarga. Ada yang mampu membeli yang baharu dan ada yang tidak. Teringat kisah dua beradik yang terpaksa berkongsi kasut dan baju sekolah akibat kemiskinan. Adik menunggu abang pulang untuk mendapatkan pakaian. Justeru jangan kerana warna, tumpuan untuk belajar hilang.

Tidak perlu berbahas lagi mengenai warna kasut sekolah ini. Keputusan sudah dibuat. Ingat, penguatkuasaan hanya pada tahun 2021. Selepas ini giliran stoking pula. Putih atau hitam?

Related posts

Leave a Comment