Pas tiada masalah dengan bukan Islam

SHAH ALAM 21 Okt. – Pas mempertahankan tindakannya bagi menarik undi bukan Islam kerana parti itu tidak pernah mempunyai masalah dengan kelompok berkenaan yang tidak ekstrem, kata Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan.

Beliau menjelaskan, parti itu tidak pernah mengenepikan, malah sentiasa mengiktiraf kehadiran sokongan pengundi bukan Islam selama ini.

“Pas hanya tidak boleh menerima golongan bukan Islam yang ekstrem, termasuk parti politik yang mengambil pendekatan begitu.

“Kalau dengan ucapan Presiden, kita tiada masalah dengan rakyat bukan Islam tidak ekstrem, namun yang ekstrem untuk kita bekerjasama itu tidak boleh, contohnya parti politik yang mengambil sikap terbabit,” katanya di sini, hari ini.

Beliau yang ditemui media berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang membidas Abdul Hadi kerana dilihat tidak konsisten dalam tindakannya apabila mengarahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam.

Nik Nazmi dilaporkan berkata, tindakan Abdul Hadi disifatkan tidak ubah seperti ‘hari ini cakap lain, esok cakap lain’, kerana Ahli Parlimen Marang itu kini sanggup menagih undi kumpulan yang sebelum ini pernah dilabel sebagai perosak negara.

Takiyuddin berkata, tidak timbul soal ‘hari ini cakap lain, esok cakap lain’, kerana Pas sudah menjalinkan kerjasama dengan pihak bukan Islam, termasuk DAP melalui Pakatan Rakyat sebelum ini dan kini Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Sejak dulu lagi, banyak kerjasama Pas dengan masyarakat bukan Islam, termasuk dalam Majlis Perundingan Orang Cina (CCC), kita pernah berada bersama DAP, kita punya hubungan baik dengan MCA serta MIC.

“Hari ini cakap lain, esok cakap lain itu parti lain, ia bukan secara lisan namun juga sudah didokumentasikan janji itu namun tidak dilaksanakan selepas menjadi kerajaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment