SHAH ALAM 20 Okt. – Hasrat tiga anggota Dewan Muslimat Pas yang ingin membantu mangsa kemalangan berakhir dengan tragedi apabila mereka dirempuh kereta di Kilometer 389, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara kira-kira pukul 2 petang ini.
Kejadian itu mengorbankan Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, Ketua Ameerah Pas Sungai Petani, Nor Fatihah Nabilah Bukri, 23 dan Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27.
Taibah dan Fatihah maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala Nurul Najihah, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Slim River.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata polis menerima maklumat berkaitan kemalangan membabitkan empat kereta dan dua motosikal pukul 2.30 petang.
Berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, katanya, sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun dari Kuala Lumpur menghala ke Kedah, hilang kawalan lalu berpusing dan terbalik di longkang kiri jalan.
“Kemudian, tiga wanita yang juga ahli Dewan Muslimat Pas Kawasan Sungai Petani yang menaiki kereta jenis Toyota Fortuner berhenti di lorong kecemasan untuk memberikan bantuan kepada pemandu Mitsubishi Triton itu.
“Turut berhenti di laluan kecemasan berkenaan adalah motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang seorang lelaki berusia 42 tahun; motosikal Honda EX5 (ditunggang lelaki berusia 46 tahun) dan kereta Perodua Myvi (dipandu lelaki berusia 31 tahun) bagi menghulurkan bantuan.
“Kira-kira lima minit kemudian, sebuah kereta jenis Toyota Altis dipandu lelaki berusia 30 tahun dari arah yang sama di lorong kanan, tiba-tiba hilang kawalan lalu terlanggar tiga wanita dan tiga lelaki tadi hingga kesemua mangsa terhumban ke dalam longkang di kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Hasni berkata, kemalangan terbabit mengakibatkan Fatihah Nabila dan Taibah meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Nurul Najihah meninggal dunia di Hospital Slim River ketika menerima rawatan.
“Mangsa yang lain mengalami cedera ringan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Tetap Muktamar, Senator Hussin Ismail memaklumkan kemalangan tersebut kepada perwakilan petang ini.
Berikutan itu, Hussin mengajak perwakilan dan pemerhati membaca al-Fatihah dan mendoakan semoga roh ketiga-tiga pejuang berkenaan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Turut berkongsi berita duja itu, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man melalui Facebooknya.
“Mendapat berita dukacita tiga perwakilan Muslimat Pas terlibat kemalangan selepas hadir ke perasmian muktamar pagi tadi.
Salam Takziah saya ucapkan buat ketiga-tiga ahli keluarga, Almarhumah Ustazah Taibah Sulaiman (Ketua Dewan Muslimat Sg. Petani), Almarhumah Fatihah Nabilah (Ketua Ameerah Sg. Petani) dan Almarhumah Najihah Amzi (PSU 1 Dewan Muslimat Sg. Petani).
Moga ahli keluarga diberikan ketabahan dan kesabaran atas ujian ini. Dijemput Ilahi pada hari Jumaat barakah, Allah SWT pasti memberikan husnul khatimah, ganjaran baik dan mulia buat mereka,” katanya.
(FOTO FB Tuan Ibrahim)
