SHAH ALAM 20 Okt. – Abdul Hadi Awang mendakwa kerajaan pada hari ini bersifat ‘double standard’ sehingga melanggar prinsip demokrasi dan Islam yang masih ‘dikepung serta dipenjara’ semata-mata kerana ingin meneruskan agenda penjajah.
Presiden Pas itu berkata, kerajaan juga melanggar prinsip perlembagaan sehingga merempuh konsep federalisme dan perjanjian yang telah dimeteraikan serta melanggar sumpah yang diikrarkan.
“Sikapnya terhadap kerajaan negeri yang diperintah oleh Pas-PN yang merupakan pembangkang bagi mereka, menjadi bukti nyata secara khusus sejak zaman-berzaman,” katanya dalam ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Abdul Hadi mendakwa keadaan ini terjadi kerana kerajaan yang didakwa sebagai Kerajaan Perpaduan itu dibentuk daripada kalangan mereka yang bermasalah dan mahu menyelamatkan diri masing-masing.
“Mereka terdiri daripada mantan banduan, kluster mahkamah dan bakal yang hendak diselamatkan secara tidak bermoral dan tidak bermaruah,” katanya.
Dalam konteks ini, Abdul Hadi berkata mereka lupa amaran Allah SWT (melalui Surah Taha:124-126) di mana para ulamak tafsir menegaskan dalam ayat ini bahawa mereka yang meninggalkan petunjuk Allah akan mengalami bencana kesempitan hidup walaupun berharta dan mempunyai sumber manusia yang cukup.
“Negara ditimpa kesusahan dalam keadaan mempunyai sumber yang mencukupi tetapi tiadanya keberkatan.
Negara turut dibebankan dengan masalah kesempitan hidup , masalah tekanan hidup, kemiskinan, inflasi, pengangguran, hutang, masyarakat berpenyakit dan banyak masalah yang menyusahkan,” katanya.
Justeru Abdul Hadi mengajak semua pimpinan negeri di bawah pentadbiran Pas – Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu- mengikut bidang kuasa di samping memohon pertolongan dan keampunan daripada Allah SWT.
