Malaysia gesa gencatan senjata di Gaza

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Anwar Ibrahim menggesa gencatan senjata dilaksanakan segera di Gaza dan penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

Perdana Menteri melalui perbualan telefon bersama Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, semalam juga menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada rakyat Palestin.

“Mengambil kira situasi yang teruk di Gaza, saya sangat menyokong pemberhentian segera pengeboman dan penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah.

“Selain itu, penting juga bagi Israel untuk mengenepikan sikap mereka terhadap politik perampasan, selain (memastikan) gencatan senjata serta-merta dengan Hamas dan benar-benar berusaha ke arah resolusi keamanan untuk menamatkan konflik yang berterusan,” katanya melalui Facebook, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri ketika sesi penerangan mengenai perkembangan terkini krisis Palestin-Israel di Dewan Rakyat mengecam sikap kepura-puraan dan hipokrit negara Barat kerana mengizinkan kezaliman berterusan Israel terhadap Palestin, tetapi keras terhadap Russia dalam isu Ukraine.

Beliau berkata, dunia Barat menutup mata dan membenarkan tindakan penghapusan etnik oleh rejim Israel yang jelas menyalahi undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, Perdana Menteri melalui hantaran sama hari ini berkata, adalah penting untuk mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan semua individu yang terjejas disebabkan krisis yang berlaku ini.

“Dalam semangat ini, kami komited untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan, khususnya dalam bentuk makanan dan ubat-ubatan untuk meringankan penderitaan mereka yang memerlukan,” katanya.

(Foto hiasan Fb PM)

Related posts

Leave a Comment