KUALA LUMPUR 16 Okt. – Semoga Allah menyelamatkan negara dan rakyat Palestin. Bertabahlah sahabat dan saudara kita di sana,” kata Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketika memulakan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024, beliau tidak dapat menahan air mata ketika menyentuh nasib rakyat Palestin yang sedang dizalimi rejim Zionis.
Mumtaz berkata, rakyat Palestin sudah berdepan kezaliman akibat kekejaman Israel hampir 70 tahun, namun tiada sesiapa yang dapat melindungi mereka termasuk masyarakat antarabangsa berdasarkan undang-undang dan fitrah kemanusiaan.
Katanya, rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak berdepan serangan rejim Zionis dalam segala bentuk yang boleh difikirkan, dengan cara memboikot, menganiaya dan menzalimi di luar batas kemanusiaan, pelanggaran undang-undang dan hak asasi manusia.
“Hari ini kita tenang tetapi mereka di sana, hampir 50,000 wanita hamil berdepan kematian di hadapan mereka.
Perang ini sudah mengakibatkan kematian lebih sejuta manusia di sana. Semoga Allah memberi pertolongan kepada mereka.
“Saya harapkan, Insya-Allah apa yang kita putuskan dan bincangkan dalam negara kita, Allah beri kebahagiaan kepada mereka,” katanya dalam nada sebak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana bersatu dalam mengecam dan menyatakan pendirian terhadap kezaliman Israel.
Terdahulu ketika sesi penerangan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan akan ke Riyadh, Arab Saudi pada Khamis ini, bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC).
Pada sidang itu akan berlangsung perbincangan khusus mengenai tindakan segera yang perlu diambil terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.
