Mengekalkan ‘Kampung Cina’ bukan China Town

SEPANG 13 Okt. –  Cadangan Exco Terengganu untuk menjenamakan semula Kampung Cina kepada China Town adalah sesuatu yang amat mengejut dan mengecewakan, kata Ketua Penerangan Putra Shahrulufti Sharif.

Beliau menyifatkan tindakan itu adalah langkah tidak sensitif dan tidak menghormati warisan dan identiti penduduk tempatan yang telah lama menetap di kawasan tersebut.

“Anda seolah-olah ingin menghapuskan sejarah dan budaya Tanah Melayu,”katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Terengganu  Razali Idris.

Razali dilaporkan berkata, Kerajaan Terengganu akan menjenamakan semula Kampung Cina di sini, kepada China Town dalam usaha menarik lebih ramai pelancong termasuk dari luar negara.

Beliau akan mengadakan perbincangan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Cina dalam masa terdekat, untuk membincangkan pelbagai perkara termasuk aspek pembaharuan selaras dengan usaha penjenamaan semula lokasi berkenaan.

“Kita rancang nak jenamakan semula Kampung Cina kepada China Town kerana ia ada di mana-mana. Di Kuala Lumpur… bahkan serata dunia. Kalau kita jenamakan China Town dan jadikan satu produk dalam kalendar pelancongan, mungkin pelancong dari Eropah akan datang,” katanya.

Dalam pada itu Shahrulufti berkata, bahasa Melayu mengeratkan perpaduan masyarakat serta memupuk semangat patriotik.

Ia juga menyemai perpaduan antara kaum, mempelajari kesilapan masa dahulu, menghargai budaya dan warisan negara, memelihara kedaulatan negara, dan memahami landskap politik negara

Justeru beliau menyeru Exco Terengganu untuk menarik balik cadangan dan berunding dengan penduduk tempatan sebelum membuat sebarang perubahan nama kawasan.

Katanya, perubahan nama kawasan bukanlah sesuatu yang boleh dibuat sewenang-wenang tanpa mengambil kira pendapat dan perasaan mereka yang terlibat di samping mempertimbangkan kesan perubahan nama kawasan terhadap imej dan tarikan pelancongan negara.

“Janganlah mengorbankan warisan dan perpaduan masyarakat demi kepentingan politik atau ekonomi. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, tetapi ia juga menghormati dan mengiktiraf kepelbagaian bahasa dan budaya yang ada di Malaysia,” katanya.

Sementara itu Razali falam hantaran di Facebooknya berkata, penggunaan nama Kampung Cina Terengganu kekal dalam bahasa Melayu seiring konteks komunikasi perpaduan.

Katanya , penggunaan bahasa Melayu dalam apa jua bentuk sekalipun kekal seperti  diperuntukkan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan kerana bahasa Melayu itu sendiri mempunyai kekuatan bagi menyatupadukan rakyat pelbagai etnik.

“Bahasa Melayu merupakan jambatan penghubung antara masyarakat yang berbilang kaum dan budaya. Tidak terkecuali Kampung Cina Terengganu dikenali sebagai komuniti peranakan Cina Terengganu,” katanya.

Beliau berterima kasih kerana ada pihak yang begitu prihatin dalam soal pemerkasaan bahasa Melayu.

“Tidak timbul sebarang isu kerana konteks penjenamaan Kampung Cina itu lazimnya disebut China Town malahan sebutan China Town itu sememangnya dikenali di peringkat pelancongan global

Jadi ciri-ciri keunikan identiti, kebudayaan, kehidupan dan amalan peranakan Cina Terengganu perlu ditonjolkan atau dijenamakan secara pengantarabangsaan tanpa meminggirkan nama bahasa Melayu iaitu “Kampung Cina” Terengganu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment