GENEVA: Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) sedang berunding dengan Hamas dan Israel bagi memudahkan urusan pembebasan tebusan yang dibawa masuk ke Gaza, kata Pengarah ICRC Wilayah Asia Barat, Fabrizio Carboni.
“Sebagai perantara neutral, kita bersedia melakukan lawatan kemanusiaan, memudahkan komunikasi antara tebusan dan ahli keluarga serta memudahkan sebarang urusan pembebasan,” katanya dalam kenyataan.
Sekurang-kurangnya 150 rakyat Israel dan warga asing, termasuk askar, orang awam, kanak-kanak dan wanita – dijadikan tebusan di Semenanjung Gaza sejak serangan mengejut Hamas ke atas Israel, Sabtu lalu.
Bercakap pada taklimat akhbar, Fabrizio berkata, ICRC sentiasa berhubung dengan Hamas, setiap hari, namun enggan memperincikan sama ada pihaknya mengetahui lokasi tebusan sebagai menghormati tradisi budi bicara pertubuhan itu.
Selain itu, katanya, tindakan menahan tebusan dilarang mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan semua yang ditahan perlu dibebaskan serta-merta.
“Kami menyeru semua pihak yang memiliki pengaruh dalam kes ini, terutama Hamas untuk melayan orang secara berperikemanusiaan, menghormati maruah dan membenarkan mereka menghubungi keluarga untuk memaklumkan keadaan masing-masing.
“Kita perlu dibenarkan melawat mereka. Ramai yang tidak sepatutnya ditahan serta ditangkap dan perlu dibebaskan,” katanya.
Beliau berkata, ICRC tidak boleh berunding mengenai tebusan, contohnya dalam isu pertukaran tahanan kerana ia bukan peranan pertubuhan kemanusiaan dan terdapat ‘tanggungjawab unilateral’ bagi membebaskan mereka.
