Walid berterima kasih kepada Malaysia

KUALA LUMPUR 12 Okt. –  Malaysia hari ini menyerahkan sumbangan awal RM1 juta daripada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi meringankan beban ditanggung penduduk negara itu susulan pergolakan yang berlaku.

Sumbangan itu diserahkan Menteri Luar, Dr Zambry Abd Kadir kepada Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali di lobi Parlimen hari ini.

Walid ketika sidang media selepas penyerahan sumbangan itu berterima kasih kepada Malaysia atas sokongan teguh tidak berbelah bahagi terhadap rakyat wilayah itu susulan konflik terkini di Semenanjung Gaza.

Beliau berkata, sokongan berterusan Malaysia buat rakyat Palestin bukan sesuatu yang baharu, sekalipun dunia bersikap menutup mata terhadap penderitaan yang ditanggung oleh penduduk wilayah itu sejak berdekad lalu.

“Malaysia sentiasa memberikan sokongan dan menzahirkan semangat persaudaraan sama ada di peringkat domestik, serantau mahupun antarabangsa.

“Bagi pihak berkuasa Palestin, rakyat kami serta komuniti di Gaza dan Tebing Barat, Baitulmaqdis, kami berterima kasih kepada Malaysia.

“Kami sangat hargai sokongan itu dan berdoa kepada Allah SWT agar melindungi Malaysia, memastikan ia kekal aman dan bersatu. Insya-Allah, kami akan raikan kalian di (Masjid) al-Aqsa suatu hari nanti. Terima kasih banyak Malaysia,” katanya.

Pertempuran terkini di Palestin membabitkan Hamas, iaitu pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober lalu, mengorbankan ratusan nyawa di kedua-dua belah pihak.

Related posts

Leave a Comment