Kutty : Mahathir saman Zahid

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’.

Dr Mahathir dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro AWANI dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu telah menjatuhkan reputasinya sebagai ahli politik yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat dan memberi tanggapan bahawa plaintif seorang yang tidak jujur dan amanah, mementingkan diri sendiri, licik dan penuh tipu helah demi mencapai kepentingan peribadi.

Dr Mahathir menuntut ganti rugi am, teladan dan keterlaluan selain memohon injunksi bagi menghalang defendan atau ejen-ejennya memberi komen, mengulangi atau menyebabkan penerbitan kenyataan fitnah itu selain memohon perintah mahkamah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat secara lisan dan bertulis terhadap plaintif, kos dan relif lain yang sesuai.

Untuk rekod, semalam dalam sidang media berkaitan Gerakan Tanah Air, Dr. Mahathir turut menyentuh sepintas lalu isu itu.

Related posts

Leave a Comment