Pelaburan juruaudit hampir RM1.49 juta lesap

NIBONG TEBAL 11 Okt. – Sejumlah wang hampir RM1.49 juta milik juruaudit sebuah syarikat di Sungai Bakap, di sini lesap dalam sekelip mata selepas wanita itu terpedaya dengan iklan berkaitan pelaburan mata wang kripto yang berpangkalan di New York.

Mangsa, seorang wanita warga tempatan berusia 43 tahun itu ditipu sindiket pelaburan berkenaan yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Ng Ah Thiam, berkata kejadian bermula pada 2 Mei lalu ketika mangsa melihat iklan pelaburan berkenaan ketika melayari laman sosial Facebook (FB) sehingga menarik minatnya untuk mengetahui perkara itu dengan lebih lanjut.

“Pengadu (mangsa) kemudian mengikuti pautan yang ada dalam iklan tersebut dan seterusnya mendapat penerangan mengenai pelaburan saham yang ditawarkan.

Selepas mendapat penerangan, pengadu berminat untuk menyertainya dan kemudian membuat beberapa transaksi pembayaran dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,486,750 ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan oleh sindiket tersebut.

“Tetapi, sehingga laporan dibuat, pengadu gagal mengeluarkan keuntungan berserta modal yang dilaburkan, bahkan secara berterusan dipaksa menambah wang pelaburan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, di sini, hari ini.

Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis pada 9 Oktober untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai dengan sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan keuntungan di media sosial,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Related posts

Leave a Comment