KUALA LUMPUR 10 Okt. – Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi negara akan bertambah meyakinkan menjelang akhir tahun ini, kata Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri sewaktu pertemuan beliau bersama Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour semalam berdasarkan kepada data dan angka baharu yang diterima.
“Kita harap kejelasan dasar termasuk ekonomi dan pelaburan, serta transisi tenaga yang semakin mendapat tarikan baharu ini, dapat membantu menarik pelaburan sekali gus membantu memperkukuh kedudukan ringgit,” katanya menjawab soalan Awang Hashim (PN-Pendang) semasa Waktu Pertanyaan Menteri.
Perdana Menteri juga memaklumkan prestasi mata wang ringgit yang mengalami penyusutan sebahagian besarnya didorong faktor luaran seperti pengukuhan mendadak dolar Amerika Syarikat (AS), kadar faedah AS lebih tinggi, serta keadaan ekonomi China yang lebih lemah daripada jangkaan.
Beliau berkata, faktor sama juga turut menyebabkan penyusutan kebanyakan nilai mata wang dunia.
Menjawab soalan tambahan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) Anwar memberi jaminan dasar subsidi bersasar yang bakal dilaksanakan kerajaan tidak akan sesekali menekan rakyat.
“Dalam perkiraan dan pertimbangan kerajaan termasuk jemaah menteri, subsidi bersasar itu dianggap sangat mendesak kerana jumlah subsidi (ditanggung) kini sudah RM81 billion, tetapi dasar (baharu) tidak akan menekan (rakyat).
“Contoh terbaik ialah Tabung Haji dan kadar elektrik yang tidak akan dikenakan (rasionalasi terhadap golongan berpendapatan rendah).
“Walaupun ada kekeliruan yang dibangkitkan seolah-olah kadar elektrik itu dikenakan kepada rakyat biasa, (ini) tidak benar sama sekali. Kalau ada (juga berlaku) mungkin ada sedikit pelanggaran (kepada) peraturan yang ditetapkan,” katanya.
