Pembelian panik punca kekurangan bekalan

BENTONG 2 Okt. –  Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mohamad Sabu mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) dalam pasaran negara berpunca pembelian panik.

Katanya, sebaran sebuah video yang menyebarkan berita palsu bahawa bekalan beras jenis itu bakal kehabisan juga menjadi punca pembelian panik.

Selain itu, kementerian juga mengesan trend pengguna yang terpaksa beralih daripada membeli beras putih import (BPI) kepada BPT, ekoran kenaikan harga mendadak disebabkan tindakan India menghentikan eksport bahan mentah itu.

Mohamad berkata situasi berkenaan mendorong pengguna ‘menyerbu’ pasar raya mahupun kedai runcit untuk membeli BPT lebih banyak daripada biasa.

Tidak kurang pengguna yang kebiasaannya membeli BPI yang sebelum ini dijual pada harga RM32 hingga RM34 bagi setiap kilogram (kg) beralih kepada BPT setelah harga BPI ‘melambung’ sehingga mencecah RM37 dan RM40.

“Orang Petaling Jaya, orang Shah Alam dan orang sebelah situ semuanya makan beras import sebab harga beras tempatan RM26 manakala beras import harganya RM32 dan RM34. Tidak mahal sangat dan mereka kata beras import ini elok.

“Tetapi bila harga beras import naik melambung sampai RM37, RM40, mereka cari beras tempatan. Bila cari beras tempatan pula ada (pihak) main (sebar) dalam video dan sebagainya bahawa bulan depan tak ada beras.

Jadi orang ramai pun terpa (serbu) pergi beli beras yang sebelum dia (cuma) guna sekampit tetapi dia beli tiga (kampit). Bila beli tiga (kampit) dia ambil yang orang lain dua kampit. Yang (selalu guna) dua kampit pula dia beli empat (kampit),” katanya pada ceramah di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Kampung Hayat malam tadi.

Mohamad mengambil contoh,di Pokok Sena ketika jualan beras di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang, ada seorang makcik beli dua kampit dan bawa masuk dalam but kereta, kemudian datang balik beli dua kampit lagi.

“Saya tanya berapa ramai anak mak cik? (Dia kata) anak dua (orang). Sebulan berapa (kampit)? (Dia kata) sekampit tak habis. Kenapa beli empat. Mereka bagi tahu bulan depan tak ada beras,” katanya.

Justeru Mohamad menasihati semua supaya membeli mengikut keperluan sambil memberi jaminan kerajaan akan mencari jalan untuk menangani masalah berkenaan.

Beliau berkata walaupun keadaan sekarang agak kelam kabut, semakin hari keadaan mulai pulih dengan pelaksanaan beberapa langkah jangka pendek.

Mengenai strategi jangka panjang, Mohamad berkata kerajaan sedang berusaha untuk merealisasikan tuaian hasil padi selama lima musim untuk tempoh dua tahun, menerusi kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah.

Dalam pada itu, beliau berkata projek penanaman padi akan dikembangkan lebih luas di Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak dalam usaha kerajaan memastikan keterjaminan makanan membabitkan bekalan beras untuk keperluan negara.

“Ini supaya beberapa tahun lagi bekalan beras cukup di Malaysia Insya-Allah. Kita tak boleh diam kerana semua kita kena buat kerja, kena ikhtiar. Kalau dengan maki sahaja tak boleh selesai (masalah).

“Saya tak peduli hal fitnah. Yang penting kita terus lakukan (kerja). Dulu ayam juga bermasalah tetapi sekarang sudah stabil. (Bekalan) telur juga stabil tapi ada ladang tak cukup sedikit sebanyak itu biasa namun umumnya stabil.

“Beras pun Insya-Allah (bekalannya) akan stabil. Kita akan cari jalan yang terbaik kerana kerajaan ini bukan kita duduk saja,” katanya.

Related posts

Leave a Comment