Ambil langkah jamin sekuriti makanan

KOTA BHARU 30 Sept. –  Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, bertitah kerajaan negeri perlu mengambil langkah lebih proaktif bagi menjamin sekuriti makanan di Kelantan di samping mengatasi penderitaan rakyat dari segi tekanan sara hidup.

Baginda bertitah,  permohonan penukaran status daripada tanah pertanian kepada tanah bangunan perlu diperhalusi bagi mengekang pengurangan tanah pertanian dan mengelak berlakunya gangguan dalam rantaian bekalan makanan.

Titah baginda, situasi ekonomi semasa terutama tahun ini, dijangka tumbuh perlahan susulan ketegangan geopolitik antarabangsa yang mana pergolakan turut mencetuskan krisis kemanusiaan, sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga barangan dan memburukkan lagi tekanan inflasi global.

“Beta berharap kerajaan beta memandang serius perkara berkenaan dengan mengambil langkah lebih proaktif agar sekuriti makanan negeri lebih terjamin.

Beta menyarankan supaya langkah jangka pendek bagi mengatasi penderitaan rakyat dari segi tekanan sara hidup, juga perlu dilakukan dengan kadar segera,” titah baginda.

Titah baginda dibacakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra, pada Majlis Pengurniaan Kehormatan Kelantan Sempena Hari Keputeraan Ke-54 Sultan Kelantan, di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Che Puan Mahkota Kelantan, Tengku Bendahara Kelantan dan Raja Perempuan Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.

Dalam pada itu, Sultan Muhammad V turut berharap Dasar Pelaburan Negeri yang dilancarkan Kerajaan Kelantan pada tahun lalu mencatat perkembangan positif.

“Misi pelaburan yang berdaya maju perlulah dilaksanakan dengan penuh berkesan dan teliti bagi memastikan agenda mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif terus dijayakan,” titah baginda.

Selain itu, titah baginda, kerajaan negeri dan Persekutuan diharap dapat meneruskan projek infrastruktur berimpak tinggi seperti projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, Central Spine Road (CSR), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

“Beta sekali gus berharap pembinaan projek terbabit dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

“Penyediaan sumber air bersih juga menjadi salah satu agenda keutamaan bagi negeri beta. Beta amat berharap kerajaan negeri dan Persekutuan dapat berusaha meningkatkan infra kemudahan air, termasuk mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang mencecah 53.7 peratus pada tahun lalu.

“Keadaan ini perlu ditangani dengan berkesan bagi mencapai pengurusan sumber air negeri yang lestari dan holistik,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Muhammad V menzahirkan rasa dukacita berikutan isu jenayah syariah dipandang ringan dan dipermainkan oleh segelintir masyarakat.

Justeru, baginda berharap kerajaan negeri memandang serius dan sentiasa berusaha memperkasa dan mempertahankan Kanun Jenayah Syariah bagi membendung kes jenayah syariah daripada berleluasa.

Sultan Muhammad V turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan kerajaan terdahulu atas khidmat dicurahkan dalam memacu kemajuan negeri, serta ucapan tahniah kepada barisan kepemimpinan baharu yang diterajui Menteri Besar, Mohd Nassuruddin Daud.

Related posts

Leave a Comment