Gardenia KL diminta jelaskan kenaikan

KUANTAN: Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) diberi notis untuk menjelaskan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenai kenaikan harga 30 jenis roti miliknya bermula 1 Oktober ini.

Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh, berkata syarikat berkenaan perlu menjawab notis itu, sebagai sebahagian daripada usaha pihaknya bagi mengelak berlakunya kenaikan harga yang tidak munasabah sehingga membebankan rakyat.

Katanya, pihak Gardenia perlu menjawab notis yang dihantar semalam dalam tempoh enam hari.

“Kita hendak tahu semua kos terlibat, sebagai contoh harga tepung digunakan, kos pengangkutan, borong dan runcit. Keseluruhan rantaian bekalan ini perlu dijelaskan,” katanya selepas menghadiri Program Jualan Rahmah Bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur di Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra di sini, hari ini.

Fuziah berkata, KPDN akan melakukan pengiraan secara komprehensif selepas menerima penjelasan Gardenia KL nanti, bagi menentukan sama ada kenaikan harga barangan makanan itu rasional atau tidak.

Katanya, KPDN tidak dapat menghalang sesebuah syarikat untuk menaikkan harga barangan mereka, bagaimanapun penetapan harga sebenarnya masih boleh dikawal mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan.

Gardenia KL sebelum ini berkata, 30 produk mereka akan mengalami kenaikan harga antara 10 dan 40 sen, selepas semakan semula harga bagi produk terpilih.

Bagaimanapun harga roti putih, roti gandum penuh dan roti Toast’em masih kekal bagi memastikan kenaikan tidak membebankan majoriti pelanggan.

Related posts

Leave a Comment