KUALA LUMPUR 26 Sept. – Satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) dijangka berlangsung di Terengganu apabila Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman.
Ini berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merangkap Hakim Pilihan Raya, Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya oleh pengundi, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.
Hakim Anselm Charles telah menerima dakwaan pempetisyen di dalam Petisyen Pilihan Raya bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk meraih undi kepada Che Alias.
Mahkamah mengarahkan kos RM30,000 untuk dibayar oleh Responden kepada Pempetisyen.
Sebelum ini pada 13 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen itu apabila membenarkan bantahan awal oleh Che Alias berhubung petisyen yang dikatakan mengandungi fakta cacat dan tidak sah bagi menyokong dakwaan rasuah semasa PRU15.
Berikutan itu, Wan Mohamad Hisham memfailkan rayuan untuk mengembalikan semula petisyen tersebut.
Pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Wan Mohamad Hisham untuk mengembalikan semula petisyen berkenaan menjalani perbicaraan penuh.
Mahkamah Persekutuan juga membenarkan permohonan BN untuk mencabar kemenangan calon PN pada PRU di kerusi Parlimen di Masjid Tanah.
Pada PRU15, Che Alias mengekalkan kerusi Kemaman dengan majoriti 27,179 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Che Alias mempertahankan kerusi yang disandangnya apabila menewaskan bekas Menteri Besar Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, calon PH Hasuni Sudin dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani.
Sebelum ini pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya turut membenarkan petisyen calon BN, Mohd Zubir Embong di Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi calon Pas, Ahmad Amzad Hashim.
Bagaimanapun pada PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos lalu, Amzad mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti lebih besar 47,266 undi, berbanding 40,907 undi pada PRU15.
Untuk rekod, pada PRU14 lalu, Ahmad Amzad menang dengan majoriti 14,773 undi selepas memperoleh 42,988 undi menewaskan calon dari BN, Wan Nawawi Wan Ismail (28,215 undi) serta calon PH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (15,380 undi).
