‘Ini soal kemanusiaan, mereka juga perlu makan’

PUTRAJAYA 26 Sept. –  “Ini soal hak asasi manusia dan saya rasa mereka perlu terus diberi izin untuk membeli beras di negara ini, termasuk beras tempatan,”.

Demikian penegasan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Mohamad Sabu, berhubung cadangan supaya kerajaan melarang penjualan beras putih tempatan (BPT) kepada warga asing.

Katanya, semua pihak tidak perlu gopoh mengeluarkan kenyataan dan cadangan seumpama itu  kerana ia membabitkan hak kemanusiaan.

“Bagi saya ini soal kemanusiaan, mereka juga perlu makan dan dalam suasana begini, jangan kita gopoh (keluar cadangan) sebab kalau rakyat kita berada di luar negara dan mereka tidak dibenarkan membeli beras yang murah, kita juga akan terasa.

“Ini soal hak asasi manusia dan saya rasa mereka perlu terus diberi izin untuk membeli beras di negara ini, termasuk beras tempatan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran Malaysia Ke-25 di sini, hari ini.

Baru-baru ini Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh, dilapor mempertahankan cadangannya supaya melarang penjualan BPT kepada warga asing.

Jelasnya, cadangan itu bukan bersifat diskriminasi, sebaliknya untuk memberi keutamaan kepada rakyat tempatan untuk mendapatkan bekalan makanan terbabit.

Ditanya mengenai gesaan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, supaya memperincikan prosedur operasi standard (SOP) lesen borong beras putih import (BPI) kepada pengusaha restoran, Mohamad berkata, pihaknya akan mengadakan libat urus dengan pemegang taruh berkaitan.

“Kementerian akan berjumpa dan berdialog dengan mereka supaya dapat memahami (lebih lanjut) iaitu untuk pengurusan restoran dan sebagainya, mereka diberi harga borong untuk mendapatkan BPI itu dan tidak hanya tertumpu kepada beras tempatan,” katanya.

KPKM sebelum ini memutuskan akan memberi lesen borong kepada pengusaha restoran bagi membolehkan mereka membeli BPI pada harga borong RM3.20 sekilogram daripada Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) sebagai usaha jangka pendek kerajaan mengatasi masalah kekurangan BPT susulan pengguna kurang membeli BPI yang harganya meningkat.

Related posts

Leave a Comment