Bersedia hadapi gangguan air bulan depan

SEPANG 26 Sept. – Penduduk di 338 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula pukul 9 pagi 10 Oktober ini susulan pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 37 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur (201) dan Hulu Langat (100).

Menurut Air Selangor, kerja-kerja penyelenggaraan dijangka siap pukul 7 malam pada hari yang sama manakala bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari, 12 Oktober.

Bekalan air juga dijangka mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat selepas kerja penambahbaikan dan penyenggaraan siap dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air sudah distabilkan.

Air Selangor juga memaklumkan, lori tangki air akan digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis yang kritikal.

Syarikat itu juga menasihatkan pelanggan yang terjejas supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

Bagi pelanggan komersial, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor di mana mereka boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di stesen pengisian air di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara.

Air Selangor juga memaklumkan, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

Maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air berjadual ini boleh didapati melalui saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Related posts

Leave a Comment