Zubir Ahmad Speaker DUN Kedah

ALOR SETAR 25 Sept. –  Yang Dipertua Pas Langkawi, Zubir Ahmad dipilih menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang Ke-15 pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Ke-15 yang berlangsung di Wisma Darul Aman, di sini.

Menteri Besar Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan Zubir, 60, dan hanya seorang dicalonkan untuk jawatan itu.

Cadangan itu kemudian disokong ADUN Merbau Pulas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan, Datuk Siti Ashah Ghazali.

Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Mohamad Azlee Ahmad memaklumkan disebabkan hanya seorang calon Speaker dikemukakan dan bagi mematuhi Peraturan 4 (5) Peraturan-Peraturan Mesyuarat DUN Kedah, maka Zubir diisytiharkan menjadi Speaker DUN Kedah Ke-15.

Sementara itu, ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dilantik sebagai Timbalan Speaker selepas namanya dicadangkan Muhammad Sanusi dan disokong ADUN Kuala Ketil, Mansor Zakaria.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Ogos lalu, Perikatan Nasional (PN) menang dengan majoriti besar iaitu 33 daripada 36 kerusi DUN Kedah.

Related posts

Leave a Comment