Wanita pertama Ketua Pengarah Kastam

PUTRAJAYA 25 Sept. – Buat kali pertama, seorang penjawat awam wanita diberi kepercayaan menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), berkuat kuasa hari ini.

Anis Rizana Mohd Zainudin, 54, dilantik menduduki jawatan itu berikutan persaraan Datuk Zazuli Johan.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, berkata Anis Rizana berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Western Michigan University, Amerika Syarikat (AS) dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam kenyataannya, Mohd Zuki berkata Anis Rizana berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Kewangan, Kementerian Kewangan pada 1994.

“Beliau berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan import eksport, penyelidikan dan pembangunan dasar, ekonomi, pengurusan dan kewangan serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan,” katanya.

Mohd Zuki berkata, beliau percaya dengan pengalaman dan kredibiliti dimiliki Anis Rizana mampu menerajui agensi yang amat penting dalam pengutipan hasil kerajaan.

Selain itu, beliau mewakili kerajaan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Zazuli Johan di atas jasa dan khidmat baktinya kepada perkhidmatan awam terutama sepanjang menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Kastam.

Related posts

Leave a Comment