Menteri jelas dewan kosong ketika PMX berucap

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Seorang anggota Kabinet yang mengikuti delegasi diketuai Anwar Ibrahim ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) tampil menceritakan situasi sebenar ‘dewan hampir kosong’ ketika Perdana Menteri sedang berucap.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, dalam perkongsian video di akaun TikTok hari ini memberitahu, beliau difahamkan ramai delegasi antarabangsa yang bertindak keluar dari dewan berkenaan ketika giliran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyampaikan ucapan.

“Sebenarnya macam ini, keadaan yang berlaku itu semasa kami masuk…Perdana Menteri Israel sedang menyampaikan kenyataan negara dan memang ketika itu, memang ramai keluar dari dewan berkenaan.

“Jadi kebetulan selepas itu giliran Perdana Menteri (Malaysia) dan ketika itu pun sudah ramai, ada juga beberapa negara sudah masuk kembali (dalam dewan) selepas habis ucapan dari Israel,” katanya merujuk komen-komen mengenai dewan kosong ketika Anwar menyampaikan ucapan sulungnya di UNGA.

Justeru , Dr Zaliha berharap dakwaan mengenai dewan kosong tidak diperbesarkan lagi kerana paling penting adalah Perdana Menteri berjaya menyentuh sekali gus menyampaikan isu penting pada persidangan itu.

Selain mendapat tepukan gemuruh delegasi Malaysia, beliau berkata ada delegasi dari negara lain turut sama memberi tepukan kepada Perdana Menteri.

“Alhamdulillah, kita pun sudah dengar ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia adalah ucapan yang sangat bagus. Kita mendapat sokongan dan tepukan yang gemuruh bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga rakan-rakan negara lain.

“Itu adalah satu perkara yang saya fikir semua orang patut tahu yang kita sepatutnya rasa bangga. Jangan duduk besar-besarkan sangat isu dewan kosong.

Itu biasa sebab kadang-kadang (giliran ucapan) tak kena masa dan sebagainya. Tetapi paling terbaik adalah isi kandungan ucapan tersebut,” katanya yang turut bangga dapat menjadi salah seorang menteri yang bersama dalam delegasinya.

Related posts

Leave a Comment