KUALA LUMPUR 25 Sept. – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berharap ‘tidak diganggu’ oleh parti komponen Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, 4 November ini.
Setiausaha Agung PBB, Alexander Nanta Linggi, berkata, PBB dijangka tidak berdepan masalah untuk bekerjasama dengan komponen Kerajaan Perpaduan pada PRK yang pertama diadakan selepas pembentukan kerjasama berkenaan.
“Secara demokrasinya, memang (parti dari Semenanjung) boleh datang berkempen kerana ia terbuka. Cuma, jika kita amalkan semangat setia kawan dalam satu Kerajaan Perpaduan, mungkin PBB boleh harapkan PBB tidak diganggu,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.
Menurut beliau lagi, kerusi DUN berkenaan, yang kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu, adalah milik PBB.
Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Jepak akan diadakan pada 4 November depan, manakala hari penamaan calon pada 21 Oktober dan pengundian awal pada 31 Oktober.
Talib, 72, meninggal dunia akibat komplikasi buab pinggang dan beliau ialah penyandang kerusi DUN Depak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.
Pada PRU DUN Sarawak yang diadakan Disember 2021, PBB yang bertanding di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang dengan majoriti 4,243 undi dalam pertandingan empat penjuru mengalahkan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), dan Bebas.
