PRK DUN Jepak 4 November

PUTRAJAYA 25 Sept. –  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak pada 4 November ini dengan 21 Oktober sebagai hari penamaan calon.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata hari pengundian awal pula ditetapkan pada 31 Oktober ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

“Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 21 Oktober 2023 sehingga jam 11.59 malam, 3 November 2023,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi pula ditetapkan di Balai Raya Kampung Jepak, Bintulu.

Selasa lalu, SPR memaklumkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung kekosongan luar jangka kerusi N67 Jepak, susulan kematian penyandangnya, Talib Zulpilip pada 15 September lepas.

Talib, 72, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 5.50 petang ekoran komplikasi buah pinggang setelah dimasukkan ke pusat perubatan pada 14 September lepas.

Allahyarham ialah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.

Pada 2009, beliau dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak.

Sementara itu, sebanyak RM2.0 juta diperuntukkan di mana 446 petugas akan dilantik mengendalikan PRK itu manakala 14 pusat mengundi biasa dengan 45 saluran dan satu pusat mengundi awal akan disediakan.

Daftar pemilih yang akan digunakan adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan bulan Jun 2023 yang dikemas kini sehingga 15 September 2023 yang mengandungi 22,804 pemilih iaitu 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.

Related posts

Leave a Comment