MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi merancang membangunkan lebih 100 tapak bersejarah di Makkah dan Madinah dalam usaha menambah pengalaman jemaah haji dan umrah selaras Wawasan Saudi 2030.
Menurut laporan media Arab Saudi, pembangunan menerusi Program Doyof Al-Rahman (Tetamu Yang Maha Pengasih) itu akan dilaksanakan dengan kerjasama 70 entiti awam, swasta dan pertubuhan bukan keuntungan.
Menteri berkenaan, Dr Tawfiq Al-Rabiah, berkata program itu berperanan menjadikan pengalaman di Makkah dan Madinah sebagai bernilai dan tidak dapat dilupakan jemaah.
“Kementerian dengan penyelarasan dan kerjasama dengan rakan kongsi daripada beberapa agensi akan berusaha membangunkan tapak bersejarah ini dengan kualiti dan standard yang tinggi,” katanya ketika berucap pada program “Partners” di Kejiranan Budaya Hira pada Isnin.
Pada majlis itu Dr Tawfiq mengumumkan pelancaran platform elektronik bagi tempahan tiket melawat tapak bersejarah dan budaya di Makkah, termasuk Gua Hira dan tapak lain yang akan dibangunkan.
“Allah memberkati negara kita dengan penghormatan besar iaitu berkhidmat kepada dua masjid suci serta jemaah haji dan umrah.
Makkah dan Madinah mempunyai sejarah yang hebat dan umat Islam tidak sabar untuk mengetahuinya,” katanya.
(foto hiasan sebuah telaga di Madinah)
