Thaksin boleh bebas lebih awal

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra boleh dibebaskan secara parol seawal penghujung Februari 2024 selepas hukuman penjara lapan tahun ke atasnya dikurangkan kepada setahun.

Selepas menjalani hukuman selama enam bulan, Thaksin layak mendapat parol bagi banduan yang berumur lebih daripada 70 tahun atau mereka yang sakit

Sebelum ini, Thaksin yang 15 tahun hidup dalam buangan dan kembali ke Thailand bulan lalu didapati bersalah tanpa kehadirannya dalam tiga kes membabitkan penyalahgunaan kuasa, konflik kepentingan dan penyelewengan.

Beliau yang kehilangan kuasa akibat digulingkan tentera pada 2006 pulang ke Thailand serentak dengan kemunculan sekutunya, Srettha Thavisin sebagai perdana menteri baharu negara itu berikutan ketidaktentuan berbulan-bulan susulan pilihan raya pada Mei yang mengakibatkan kekalahan bagi parti pemerintah pro-tentera.

Terdapat spekulasi bahawa Thaksin mencapai beberapa perjanjian dengan musuh lamanya selepas parti pro-tentera memberi sokongan kepada calon Pheu Thai, Srettha untuk membentuk kerajaan baharu. Bagaimanapun mereka menafikannya.

Pada malam pertamanya di Thailand, Thaksin telah dipindahkan ke hospital polis kerana mengalami sakit dada dan tekanan darah tinggi dan beberapa hari kemudian, Raja Maha Vajiralongkorn meringankan hukuman lapan tahun ke atasnya kepada satu tahun, tetapi dia boleh dibebaskan lebih awal.

Related posts

Leave a Comment