Versi terkini vaksin Comirnaty di Singapura

SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) meluluskan penggunaan versi terkini vaksin Comirnaty oleh Pfizer yang dikemas kini bagi mereka yang berusia enam bulan ke atas.

Menurut satu kenyataan HSA, versi terkini vaksin itu dihasilkan bagi memastikan ia terus berkesan dalam memberi perlindungan daripada virus Covid-19 yang kian berubah.

Menurut HSA, semakan perlu terus dilakukan untuk mengemas kini vaksin Covid-19 yang diluluskan penggunaannya bagi memastikan keberkesanan vaksin tersebut.

Dalam semakan yang dilakukan itu, HSA berkata ia telah mempertimbangkan data menyeluruh yang diperoleh daripada versi vaksin Comirnaty sebelumnya.

“(HSA juga mempertimbangkan) data tambahan yang menunjukkan vaksin yang dikemas kini itu boleh mempertingkat tindak balas imuniti terhadap subvarian Omicron lain yang tersebar,” kata kenyataan itu.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, berkata vaksin berkenaan berbeza daripada versi sebelumnya memandangkan ia tidak menyasarkan jenis virus lama yang ‘tidak lagi tersebar secara meluas dalam masyarakat’.

Menurutnya, bekalan vaksin baharu dijangka tiba di Singapura lewat Oktober dan Kementerian Kesihatan (MOH) akan mendedahkan butiran lanjut sebelum stok tersedia bagi orang ramai.

Jawatankuasa Pakar Vaksinasi Covid-19 sedang menyemak data dan akan memberikan saranan mereka tidak lama lagi, tambah beliau.

Ye Kung berkata, kadar vaksinasi Covid-19 di Singapura kini semakin berkurangan dan beliau menegaskan pentingnya vaksinasi dalam usaha Singapura berpindah kepada pendekatan pencegahan dalam penjagaan kesihatan.

“Kita perlu lebih berwaspada. Kadar vaksinasi kita semakin merosot, dan ini bermakna perlindungan kita terhadap Covid-19 semakin lama akan semakin lemah,” ujarnya.

Mengulas lanjut dalam kirimannya di Facebook, Ye Kung menegaskan bahawa pada hakikatnya, virus itu tidak semakin lemah, tetapi warga Singapura semakin terlindung disebabkan vaksinasi serta jangkitan yang sudah pulih.

Justeru,  golongan dewasa digalakkan mendapatkan vaksinasi lebih kerap.

Related posts

Leave a Comment