Pejuang terkejut laporan media Singapura

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) terkejut dengan laporan media Singapura kononnya Lembaga Pengampunan meringankan hukuman penjara Najib Razak daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada suatu jumlah tidak dinyatakan.

Presidennya, Mukhriz Mahathir berkata jika benar,keputusan itu amat menghampakan jutaan rakyat yang sudah nekad untuk menjatuhkan kerajaan BN dipimpin Najib pada 2018 akibat penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah dilakukannya.

Katanya, setelah Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad memenangi Pilihanraya Umum ke-14 pada tahun 2018 dan mengambil alih kepimpinan negara , siasatan dimulakan bagi mencari bukti kesalahan Najib dan sekutunya.

Dalam satu kenyataan di Facebook beliau, Mukhriz berkata, hasil siasatan menyeluruh mendapati wujud syak yang berasas untuk mendakwa Najib, dan beliau dituduh kesalahan dan dihadapkan untuk perbicaraan mahkamah.

“Setelah hampir dua tahun perbicaraan berlangsung, akhirnya Najib didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara serta dikenakan denda RM210 juta.

“Selama perbicaraan berjalan, tiada langsung kedengaran pengakuan daripada Najib bahawa beliau bersalah dan menginsafi akan kesalahan yang telah dilakukannya, jauh sekali memohon maaf kepada rakyat.

“Oleh itu, bagaimana boleh terfikir oleh Lembaga Pengampunan (atas syor kerajaan) untuk meringankan hukuman ke atas Najib?

Rakyat terpaksa menanggung beban daripada jenayah Najib menyeleweng dana awam. Maka wakil kerajaan dalam Lembaga Pengampunan mahupun kerajaan sendiri tidak boleh berdiam diri meletakkan beban penjelasan kepada Yang di-Pertuan Agong mahupun Lembaga Pengampunan.

“Rakyat ingin tahu apa pendirian Kerajaan Anwar Ibrahim dalam isu pengampunan Najib,” katanya.

Mukhriz juga mendakwa kini terdengar pula khabar angin bahawa hukuman penjara keatas Najib itu akan diringankan lagi kepada tahanan di rumah dan jika benar, dunia akan mentertawakan sistem perundangan negara.

“Kemana perginya janji Anwar untuk memerangi rasuah? Adakah dengan melancarkan siasatan baru ke atas pemimpin-pemimpin politik lama yang dianggap musuhnya, sambil melepaskan pemimpin yang sudah dijatuh hukum oleh mahkamah?

Tidakkah ini hipokrisi namanya? Tidakkah ini akan melihatkan bahawa tindakan Anwar itu semua didorong kepentingan politik semata-mata bila diambilkira bahawa sebahagian daripada Kerajaan Madani terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen BN?

Malah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik Timbalan Perdana Menteri, dan siasatan dan perbicaraan keatasnya digugurkan.Kini menyerlah sikap Anwar. Beliau seorang oportunis yang sanggup membelakangkan prinsip semata-mata untuk kuasa,” kata Mukhriz.

(Laporan CNA Singapura)

Related posts

Leave a Comment