Noktahkan isu DNAA di Dewan Rakyat – Hassan

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim digesa memberi penjelasan di Dewan Rakyat berhubung keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyifatkan langkah itu penting bagi membolehkan ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan mendapat penjelasan sebenar.

Wakil PKR itu berkata, adalah lebih baik Perdana Menteri menjelaskan sendiri isu berkaitan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berbanding kenyataan yang dilaporkan di media.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Hassan yang juga bekas Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor berkata, beliau kurang berpuashati perjalanan kes berkenaan dan mahu Peguam Negara memikul tanggungjawab dalam isu berkenaan.

Justeru beliau setuju supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi memanggil Peguam Negara yang lepas dan kini untuk menjawab isu berkenaan.

“Peguam Negara mesti datang untuk menjawab, dan jangan beri alasan untuk tidak datang… ini kerana jawatankuasa dan Parlimen ada integriti,” katanya.

Beliau juga menegaskan akan terus mempertahankan Perdana Menteri dalam isu berkenaan dan percaya tidak ada campur tangan dalam isu berkenaan.

“Ketika keputusan mahkamah itu di buat, Perdana Menteri di Jakarta kerana menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan saya baca laporan menyatakan yang beliau menjelaskan tidak campur tangan itu kerana ia atas kuasa budi bicara Peguam Negara

“Apabila Perdana Menteri balik ke Malaysia, Perdana Menteri juga tegaskan lagi perkara itu (keputusan DNAA) adalah budi bicara Peguam Negara dan tidak boleh campur tangan kerana ia kuasa budi bicara Peguam Negara,” katanya.

Menjawab pencelahan sama ada kenyataan Perdana Menteri itu boleh dipercayai, Hassan sebagai anggota parti yakin dengan Perdana Menteri.

“Dari segi undang-undang, apa yang dilaporkan dalam akhbar (media massa) itu (statusnya) adalah dengar cakap, namun saya percaya apa yang beliau cakap (katakan) kerana ia perbualan antara sahabat dalam parti, perbualan antara pemimpin dengan ahli parti.

“Saya percaya apa yang beliau (Perdana Menteri) cakap, saya tidak akan mencampakkan pemimpin saya di bawah ‘bas’ dan akan pertahankan beliau di dewan ini.

“Namun untuk berlaku adil supaya sahabat di blok pembangkang dan kami, jelas (perkara ini), kami hendak dengar sendiri dari Perdana Menteri supaya isu DNAA dinoktah di dewan ini,” katanya.

Beliau menjelaskan isu DNAA itu sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri secara peribadi dan dengan tegas Perdana Menteri menyatakan tidak campur tangan bukan saja keputusan mahkamah itu tetapi juga kuasa Peguam Negara dan setuju badan kehakiman perlu bebas membuat keputusannya sendiri.

“Malah apabila (Ahli Parlimen) Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan (Ahli Parlimen) Tasek Gelugor (Datuk Wan Saiful Wan Jan) dituduh di mahkamah, saya ada nyatakan secara terus kepada Perdana Menteri jangan aniaya lawan, saingan politik.

“Saya nyatakan tidak setuju perkara itu dan Perdana Menteri menyatakan beliau setuju dan tidak campur tangan tetapi beliau dimaklumkan agensi penguat kuasa mempunyai bukti dan kuat dan (kes) diteruskan dan beliau tidak mengganggu atau campur tangan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment