Input berkaitan penggunaan kalimah Aklah

PUTRAJAYA 8 Sept. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mendapatkan input dan cadangan supaya parameter kawal selia penerbitan yang mengandungi kalimah Allah dirangka selari dengan hasrat dan misi jabatan berkenaan.

Menurut KDN, input dan cadangan berkenaan adalah seiring dengan dasar ditetapkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja, kelak.

KDN meneruskan siri Majlis Libat Urus KDN Bersama Badan Pengurusan Syariah semalam bagi mendapatkan cadangan dan pandangan yang komprehensif berhubung rangka kerja pelaksanaan Arahan Pentadbiran KDN yang ditambah baik dari aspek penguatkuasaan dan kawal selia penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’ di seluruh negara.

Dalam kenyataannya, KDN menyatakan komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan kepentingan negara dari semasa ke semasa.

Ia selaras dengan peruntukan bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Sesi berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Menterinya,  Dr Shamsul Anuar Nasarah serta 23 jemputan yang merangkumi Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pada majlis itu, jemputan turut diberikan ruang untuk membincangkan mengenai pengurusan syariah dan penguatkuasaan perundangan termasuk cadangan untuk mendepani isu berbangkit di lapangan serta parameter kawal selia penerbitan berkenaan.

“Diharapkan majlis ini mampu memupuk jalinan kerjasama dan semangat kebersamaan di antara KDN dan agensi penguatkuasaan di negara ini supaya urusan kawal selia penerbitan dapat dilaksanakan dengan tertib dan harmoni,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment