10,000 sambut konvoi kembara Agong

LAWAS 8 Sept. – Kira-kira 10,000 penduduk menyambut ketibaan konvoi Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah  malam tadi, menandakan permulaan penjelajahan bagi peringkat Sarawak.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada kira-kira pukul 8 malam disambut oleh Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan Timbalan Premier Sarawak,  Awang Tengah Ali Hasan.

Baginda berdua diiringi Menteri Pengiring, Fadillah Yusof, yang juga Timbalan Perdana Menteri, menerima sambutan sangat meriah di mana rakyat di Lawas tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan merakamkan gambar kenangan bersama baginda berdua.

Al-Sultan Abdullah dalam titah ringkas baginda menzahirkan rasa terharu dengan sambutan hangat rakyat di bandar paling utara di Bumi Kenyalang itu.

Terdahulu Awang Tengah, dalam sembah aluannya, turut berkongsi sejarah keberangkatan ayahanda Al-Sultan Abdullah iaitu Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ke Ba’Kelalan, sebuah kawasan dataran tinggi di pedalaman Lawas pada 1982 sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh.

Beliau turut mempersembahkan projek pembangunan yang giat dilaksana di daerah agak terpencil itu berbanding bahagian lain di Sarawak dengan kedudukannya yang diapit Brunei Darussalam di selatan, wilayah Kalimantan di timur dan Sabah di utara.

Persinggahan singkat rombongan diraja itu turut memberi peluang kepada suku kaum tempatan di Lawas yang terdiri daripada Melayu, Kedayan, Lun Bawang, Cina, Tagal dan Iban untuk membuat persembahan kebudayaan mereka.

Konvoi baginda berdua kemudian meneruskan perjalanan ke Bandar Seri Begawan melalui Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien sepanjang 30 kilometer dan akan berada di ibu negara Brunei Darussalam itu hingga esok.

Pada Sabtu, kembara itu akan memasuki semula Sarawak menerusi Miri di mana beberapa acara sambutan turut dirancang sebelum ia bergerak ke Bekenu dan Bintulu pada keesokan harinya.

Kembara Kenali Borneo turut membabitkan persinggahan di Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum dilengkapkan dengan perjalanan ke Telok Melano, Lundu di selatan Sarawak pada 13 September ini.

Related posts

Leave a Comment