Tiada justifikasi kes Zahid dihentikan

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Majlis Peguam menyifatkan kenyataan Pejabat Peguam Negara (AGC) mengenai keputusan bebas tanpa dilepaskan Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tidak mempunyai justifikasi sewajarnya.

Presidennya, Karen Cheah, berkata adalah tidak wajar bagi AGC untuk mengaitkan penarikan balik sepenuhnya kes Ahmad Zahid itu kepada Mahkamah Tinggi dan menggunakannya sebagai alasan dalam kenyataan media daripada memberikan penjelasan terperinci.

“Mahkamah Tinggi memberikan DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan) dan ini menyebabkan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah tidak mempunyai alternatif selain memutuskan sama ada DNAA atau pembebasan,” katanya dalam kenyataan.

Karen berkata, banyak perkara tidak menyenangkan berlaku antaranya surat representasi pertama yang dihantar oleh pihak pembelaan bertarikh 8 Disember 2022 berlaku lebih tiga tahun selepas kes itu dimulakan di Mahkamah Tinggi.

Selain itu, surat perwakilan ini dibentangkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), selepas pelantikan Perdana Menteri pada 24 November 2022 dan selepas senarai lengkap anggota Kabinet dikeluarkan pada 2 Disember 2022.

“Selanjutnya pada 8 Ogos 2023, kurang sebulan yang lalu, bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dilaporkan meminta untuk bersara awal sejak 3 April 2023, dan tidak dapat mengetuai pendakwaan untuk perbicaraan Ahmad Zahid.

“Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilaporkan berkata pada ketika itu bahawa Raja Rozela akan bercuti sebelum bersara bermula dari 30 Ogos 2023.

“Dalam masa yang sama tempoh jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM semasa dilanjutkan selama setahun lagi pada 10 Mei 2023, manakala tempoh perkhidmatan Idrus juga dilanjutkan selama enam bulan lagi mulai 6 Mac 2023,” katanya.

Justeru, beliau berkata berdasarkan DNAA itu, ia menyifatkan pendakwaan yang berlaku hanya membuang masa kehakiman dan pembaziran sejumlah wang pembayar cukai.

“Dalam hal ini, Peguam Negara mesti bertanggungjawab dan sekiranya pihak pendakwaan memutuskan dalam masa terdekat untuk meneruskan apa-apa pertuduhan lanjut, maka ia harus memanfaatkan proses ‘pengambilan semula perbicaraan selepas pelepasan’ di bawah seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah.

“Di mana perbicaraan Ahmad Zahid akan dikembalikan semula dan berterusan seolah-olah tiada perintah DNAA sedemikian diberikan,” katanya.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini, terdapat kes di mana pertuduhan jenayah terhadap ahli politik tertentu digugurkan oleh AGC semasa perbicaraan dilaporkan mengikut ‘arahan’ atau berpunca daripada surat representasi.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kes berprofil tinggi kerana mereka memegang kepentingan negara dan awam terutamanya disebabkan oleh sejumlah besar wang yang didakwa diselewengkan oleh individu-individu yang mempunyai kuasa.

“Majlis Peguam berharap keadilan yang baik akan berlaku dan trend tidak sihat ini tidak akan berterusan terutamanya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang berjalan.

Sebelum keputuan ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Related posts

Leave a Comment