KUALA LUMPUR 31 Ogos – DAP menyusun semula lagu ‘Setia’ hasil ciptaan Allahyarham Mohamed Rahmat untuk menyampaikan mesej sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, berkata, beliau menugaskan komposer tempatan untuk menyusun semula lagu berkenaan dengan tajuk baharu iaitu ‘Kitalah Malaysia – Setia’ dengan bantuan beberapa ahli parlimen DAP.
Mereka adalah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim; Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
“Lagu ‘Setia’ yang dicipta oleh Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat tetap menjadi kegemaran peribadi saya sejak di bangku sekolah apabila ia dimasukkan sebagai sebahagian daripada perhimpunan mingguan,” katanya melalui Facebooknya.
Loke berkata, mereka yang membesar pada tahun 1980-an pasti mengenali lagu ini dengan baik dan menganggap ia antara lagu patriotik terbaik pernah ditulis.
“Liriknya sangat sesuai dan saya fikir ia mencerminkan pembinaan negara yang bersatu padu.
Kini, iklim politik semasa menyaksikan peningkatan dalam politik perpecahan, justeru DAP mahu menggunakan ‘Setia’ untuk menyampaikan mesej sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan,” katanya.
Sempena sambutan Merdeka, Loke pada Isnin menyiarkan klip video muzik di Facebook, memaparkan dirinya bersama barisan anggota Kabinet DAP, timbalan menteri dan ahli parlimen, menyanyikan versi terkini ‘Kitalah Malaysia – Setia (2023)’.
