Pas ‘king maker’ penyatuan ummah

ALOR SETAR 30 Ogos – Tanpa pembabitan Pas, usaha penyatuan ummah menerusi gerakan politik di negara ini, tidak akan ke mana-mana, Ketua Pengarah Pilihan raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menteri Besar Kedah itu berkata sebagai parti yang mempunyai pengaruh besar dalam kalangan masyarakat, Pas adalah ‘king maker’ yang boleh menentukan hala tuju ke arah penyatuan berkenaan.

“Saya rasa (penyatuan ummah) kalau tidak melibatkan Pas secara serius tidak akan ke mana-mana, semua gerakan politik di Malaysia pada hari ini mesti melibatkan Pas sebagai ‘king maker’.

“Kalau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) nak buat apa-apa tanpa libat Pas, tak akan berjaya untuk sambung hayat politik dia,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid bahawa UMNO tidak berhasrat menjalinkan semula hubungan kerjasama dengan parti atau pemimpin yang bermuslihat.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata kerjasama harus datang daripada keikhlasan dan bukan manipulasi serta beberapa tindakan yang tidak dialu-alukan kerana penuh dengan muslihat.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, semua orang mengetahui sejarah sebenar bagaimana Muafakat Nasional (MN) dibubarkan yang didakwa berpunca daripada tindakan Ahmad Zahid.

“Dia sendiri pun banyak muslihat, masa MN ditubuhkan dia bercuti, sudah nampak Datuk Seri Mohamad Hasan berupaya memimpin UMNO, mengadakan MN dan perpaduan ummah bersama Pas, dia (Ahmad Zahid) keluar daripada cuti dia.

“Selepas itu mula berlaku ‘manuever’ yang ikat Perpaduan Ummah hanya Pas dan UMNO. Saya rasa itu bukan hasrat sebenar Perpaduan Ummah dalam MN tetapi Zahid kembali daripada bercuti untuk pastikan hanya berlaku Pas dan UMNO, tolak Bersatu ,” katanya.

Beliau berkata, UMNO sedang mengalami krisis di bawah Ahmad Zahid sehinggakan parti itu ditolak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang turut menjadi manifestasi penolakan kepada kepemimpinan Presiden UMNO itu.

Sanusi mendakwa, Ahmad Zahid dakwa menyedari mengenai penolakan besar-besaran terutama dalam kalangan pengundi Melayu itu, namun sengaja tidak mengendahkannya.

“UMNO sedang mengalami krisis di bawah Ahmad Zahid, saya harap dia sedar perkara itu, orang menolak (UMNO), ada (ADUN PN) yang menang di Kedah sampai majoriti 23,000 (undi), datang dari mana undi itu?

“Itu adalah manifestasi kepada penolakan kepemimpinan Ahmad Zahid, saya rasa dia sedar, saja dia buat tidak tahu, susah ada pemimpin macam itu.

“Ada lagi orang nak kawan dia (Zahid)? Saya rasa orang UMNO pun tak mahu dia kerana banyak orang UMNO mengundi PN kerana tak mahu Ahmad Zahid,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO tidak berhasrat untuk menjalinkan semula hubungan kerjasama dengan parti atau pemimpin yang bermuslihat.

“Mana-mana pemimpin dan parti yang sangat bermuslihat, saya tidak fikir kita (UMNO) harus revisit hubungan itu,” katanya selepas majlis makan malam bersama duta dan wakil dari 29 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), malam tadi.

Related posts

Leave a Comment