Hadi sembunyi fakta negara berkebajikan

MUAR 29 Ogos – Presiden Amanah, Mohamad Sabu mendakwa keputusan Pas memutuskan hubungan dengan DAP kerana parti itu menolak hudud hanyalah alasan yang sengaja direka untuk memanipulasi rakyat.

Sebaliknya, beliau mendedahkan, kata sepakat berkaitan isu hudud antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat telah pun dipersetujui.

Menurut bekas Timbalan Presiden Pas itu, keputusan Pas meninggalkan DAP adalah kerana mereka mahu mewujudkan kerjasama Kerajaan Perpaduan dengan UMNO selepas pilihan raya umum (PRU) pada 2013.

Katanya, menjelang PRU-13 isu hudud bergema di Malaysia dan perbincangan khas antara pemimpin Pakatan Rakyat berlangsung di Pejabat Pas Jalan Raja Laut pada 29 September 2011 di mana pihak Pas dihadiri Abdul Hadi, Dr Zul, Mustapha Ali beliau dan beberapa pemimpin.

“Pemimpin DAP yang hadir ialah Lim Kit Siang, Karpal Singh, Lim Guan Eng, Anthony Loke Siew Fook, Liew Chin Tong dan ada lagi yang saya tidak ingat, manakala PKR ada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saifuddin Nasution.

Dalam perbincangan itu akhirnya keputusan dicapai iaitu ‘agree to disagree’ yang mana kita bersetuju untuk melawan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menentang rasuah dan apa sahaja yang terkandung dalam Perlembagaan mesti dijunjung bersama dan tidak bersetuju soal hudud,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Khas Membongkar Pembohongan Hadi Awang di Taman Sri Kaseh, di sini, malam tadi.

Mohamad berkata, kerjasama itu kemudian diteruskan dalam PRU-13 dengan slogan ‘agree to disagree’ dan kerjasama itu kekal menang di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan tewas di Kedah sebelum Pas melalui Muktamar Pas pada 2015 kemudian mengisytiharkan akan memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP .

Justeru, tegas beliau, tidak timbul soal hudud selain mendedahkan Pas juga pernah akur dengan kehendak DAP yang tidak mahu konsep negara Islam diguna pakai dan Pas bersetuju menggantikannya dengan negara berkebajikan (welfare governance).

Katanya, menjelang pilihan raya tahun 2008 , usaha menggabungkan kerjasama Pas, DAP dan PKR berterusan dibuat pelbagai pihak.

“Ini beliau tidak cerita yang mana DAP minta negara Islam tidak boleh disebut dan Pas bersetuju menggantikannya dengan negara berkebajikan, Pas sanggup gugur negara Islam, istilah itu diganti dengan negara berkebajikan.

“Kenapa dia sembunyi fakta itu,” tanya Ahli Parlimen Kota Raja itu yang sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Pas.

Katanya, secara peribadi, beliau menghormati pemimpin tertinggi Pas itu namun pembohongan yang dilakukan terlalu melampau dan tidak boleh diterima.

Beliau juga mendakwa ‘fatwa’ politik yang dibawa oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang akan berubah pada setiap pilihan raya sehingga sanggup berbohong dan menyembunyikan fakta.

.Semalam Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataannya menjelaskan DAP tidak pernah meminta Pas ‘membuang’ Islam sepanjang kedua-dua parti bersama semasa berada Barisan Alternatif (1999-2002), mahupun Pakatan Rakyat (2008-2015).

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan liar tersebut. DAP tidak pernah meminta Pas “membuang” Islam sepanjang kerjasama di antara kedua-dua parti sama ada semasa dalam Barisan Alternatif (1999-2002) mahupun Pakatan Rakyat (2008-2015).

“DAP konsisten dalam pendirian kami sepanjang kerjasama politik dengan Pas bahawa kami fokus dalam isu-isu yang dipersetujui bersama tetapi mengambil pendekatan “bersetuju untuk tidak bersetuju” (agree to disagree) dalam isu yang tidak dapat mencapai konsensus,” katanya.

Beliau berkata, isu pokok yang tidak dapat dipersetujui DAP ialah pelaksanaan hukum hudud dan DAP konsisten dalam perkara ini kerana ia tidak berlandaskan kepada sistem undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Loke mengingatkan Pas bahawa selain DAP, orang yang paling lantang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri ke-4.

“Pendirian tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud tidak bermakna melawan agama Islam! Tun Dr. Mahathir tidak pernah setuju dengan pelaksanaan hudud. Begitu juga parti-parti yang disebut oleh Tan Sri Hadi seperti MCA, MIC dan Gerakan.

“Mengapa hanya DAP yang sentiasa dilabelkan oleh Pas sebagai “musuh” Islam? Bukankah ini semata-mata satu pembohongan Pas untuk menjadikan DAP sebagai “punching bag” dalam percaturan politik mereka?,” katanya.

Related posts

Leave a Comment