AYER KEROH 24 Ogos – Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh mendahului senarai 1,042 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri sempena Sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam Ke-74, hari ini.
Ab Rauf dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada sesi pertama istiadat yang berlangsung di Dewan Istiadat Seri Negeri, di sini.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Istiadat yang diadakan sebanyak tiga sesi itu menyaksikan seramai 20 individu dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.
Antara penerimanya ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), M Noor Azman Taib serta Setiausaha Politik Perdana Menteri, Tajul Razi Abdul Aziz.
Turut menerima DCSM adalah Ketua Polis Melaka, Zainol Samah; Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengarah Southern Power Generation Sdn Bhd, Norzaity Othman.
Seramai 18 penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang bergelar Datuk, antaranya Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Dr Anasee Ibrahim; Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin dan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Dr Massila Kamalrudin.
ADUN Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem mengetuai 208 penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.
Turut menerima darjah kebesaran sama, Pengarah Kor Amor Diraja, Brigedier Jeneral Mohd Fazly Mat Said; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Badaruddin Mohd Kassim; Pegawai Daerah dan Tanah (PDT) Jasin, Rahizi Ranom; Panglima 10 Briged, Mejar Jeneral Khairul Azmizai Ahmad Natal dan komposer, S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said.
Tahun ini, seramai 62 penerima dianugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM) diikuti 96 individu menerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 205 menerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 292 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 129 penerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan 10 menerima Pingat Khidmat Lama (PKL) seramai 10 penerima.
Sementara itu, beberapa pengamal media turut menerima anugerah kebesaran negeri. Mereka adalah Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman yang menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM); pemberita sambilan NSTP, Nursaliawati Salberi; wakil Astro Awani Melaka, Nurshuhada Kadir dan wartawan Sin Chew Daily, Teh Xiao Tong, masing-masing menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).
