PUTRAJAYA 24 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon.
Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh, berkata hari pengundian awal pula ditetapkan pada 3 Oktober ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
Bercakap pada sidang media di sini, hari ini, beliau berkata tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 23 September 2023 sehingga jam 11.59 malam, 6 Oktober 2023.
Abdul Ghani berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK DUN Pelangai akan dibuka bermula hari ini.
Katanya, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan proses pilihan raya manakala dua pasukan penguatkuasa ditubuhkan bagi memantau aktiviti kempen sepanjang PRK.
“Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang akan digunakan adalah di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul.
“Seramai 312 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK DUN Pelangai, manakala sebanyak sembilan pusat mengundi biasa yang mengandungi 30 saluran serta satu pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi satu tempat saluran awal akan digunakan,” katanya.
PRK DUN Pelangai yang memerlukan peruntukan sebanyak RM2.1 juta itu akan menggunakan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan setakat Mei lalu yang dikemaskini pada 17 Ogos lalu.
Ia mengandungi seramai 16,456 pemilih yang terdiri daripada 16,417 pengundi biasa, 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Berdasarkan statistik SPR, pemilih bagi DUN Pelangai merangkumi 8,254 lelaki dan 8,202 wanita dengan pengundi muda berusia antara 18 hingga 29 tahun adalah seramai 3,728 orang.
PRK DUN Pelangai adalah PRK yang keempat diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas PRK Kuala Terengganu, Pulai dan Simpang Jeram.
Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Johari Harun meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam minggu lalu, yang turut mengorbankan sembilan individu lain.
Allahyarham yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi berkenaan pada PRU15 tahun lalu.
Dalam saingan empat penjuru, pada pilihan raya lalu, Allahyarham menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat; Ahmed Wafiuddin Shamsuri (Pakatan Harapan) dan Isa Ahmad (Pejuang) dengan majoriti 4,048 undi.
