Tiga rebut jawatan Presiden Singapura

SINGAPURA 22 Ogos –  Pilihan Raya Presiden Singapura yang akan berlangsung pada 1 September ini melibatkan pertandingan tiga penjuru selepas ketiga-tiga calon berjaya memfailkan kertas pencalonan pada Hari Penamaan Calon hari ini.

Ng Kok Song, Tharman Shanmugaratnam dan Tan Kin Lian memfailkan kertas pencalonan di ibu pejabat Persatuan Rakyat (PA) di King George’s Avenue sejak sekitar 9.45 pagi untuk menyerahkan dokumen-dokumen yang diperlukan.

Mantan Ketua Pegawai Pelaburan GIC, Kok Seng 75, calon pertama tiba, diikuti dengan mantan Ketua Eksekutif NTUC Income, Kin Lian, juga 75, dan kemudian mantan Menteri Kanan,  Tharman, 66.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Tan Meng Dui, secara rasmi mengumumkan ketiga-tiga mereka sebagai calon Presiden pada pukul 12.30 tengah hari.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan kepada para penyokong, Kok Seng yang memperkenalkan dirinya dalam bahasa Mandarin, Melayu dan Tamil,

menyeru agar warga Singapura memilih beliau sebagai Presiden.

Beliau berkata beliau boleh “melindungi tiga khazanah negara Singapura” – rizab, pelantikan perkhidmatan awam dan kestabilan sosial.

Selama 45 tahun dalam perkhidmatan awam, beliau “mempunyai apa yang diperlukan untuk menegakkan integriti pelantikan perkhidmatan awam”.

Tharman pula dalam ucapannya berkata beliau mengharapkan persaingan yang “bermaruah dan terhormat”. serta kempen yang bertujuan menyatukan warga Singapura..

“Kita nantikan kempen yang bermaruah dan terhormat serta kempen yang bertujuan menyatukan warga Singapura dan bukan memecahbelahkan kita,” ujar beliau.

Sementara Kin Lian mahu memberi warga Singapura peluang memilih presiden yang bebas, Presiden yang benar-benar bebas daripada pemerintah.

“Jika saya dipilih, saya akan menjalankan tugas saya seperti yang termaktub dalam perlembagaan dengan bersungguh-sungguh, jujur dan sedaya upaya saya,” katanya.

Ketiga-tiga calon juga telah memperkenalkan simbol masing-masing di mana Kok Song memilih tapak tangan dengan bentuk hati, Tharman pula ialah buah nanas manakala simbol Kin Lian memilih simbol bunga yang dijunjung empat orang.

Berikutan pengesahan pencalonan itu, calon-calon boleh mula berkempen sehingga 30 Ogos manakala 31 Ogos merupakan Hari Bertenang sementara mengundi pada, 1 September, yang merupakan cuti umum.

Related posts

Leave a Comment