Jerebu: Dua bulan kerja dari rumah

JAKARTA: Penjawat awam di ibu negara, Indonesia dibenarkan bekerja dari rumah selama dua bulan bagi membolehkan kerajaan menangani pencemaran udara.

Keputusan itu dibuat selepas Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) sendiri batuk selama beberapa minggu akibat jerebu teruk yang menyelubungi kota itu.

Separuh penjawat awam di ibu kota republik itu mula bekerja dari rumah semalam, sebelum 75 peratus daripada mereka dibenarkan berbuat demikian bulan depan sehingga 21 Oktober.

Mengikut arahan itu, pekerja akan dipantau untuk memastikan mereka tidak meninggalkan rumah tanpa keperluan.

Menurut media Indonesia, jerebu yang menyelubungi Jakarta turut dijangka menjejaskan penganjuran sidang Kemuncak ASEAN pada 5 hingga 7 September ini.

Bandar yang menjadi tempat tinggal lebih 10 juta penduduk itu diselubungi pencemaran udara pada tahap tidak sihat sejak beberapa minggu lalu.

Menurut bacaan dibuat IQAir baru-baru ini, syarikat teknologi kualiti udara dari Switzerland itu menyenaraikan Jakarta sebagai bandar paling tercemar di dunia.

Keadaan sama mengundang syor daripada seorang menteri kanan yang mahu mewajibkan pemakaian pelitup mula dan mulut.

Selain itu, kerajaan sedia mempertimbangkan untuk mengenakan cukai pencemaran dan meningkatkan pengawasan terhadap kenderaan serta kilang apabila musim kemarau yang berpanjangan, sehingga memburukkan lagi jerebu.

Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno, baru-baru ini, menyatakan jerebu turut mengakibatkan Indonesia berdepan kerugian ekonomi sebanyak AS$1.4 bilion (RM6.51 bilion).

Related posts

Leave a Comment