Negeri Sembilan penuhi impian asnaf tunaikan umrah

SEREMBAN 31 Dis. – Kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 yang ditaja syarikat Andalusia dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Menteri Besar, Aminuddin Harun berharap, 86 golongan asnaf yang terpilih dari seluruh Negeri Sembilan yang berumur dalam lingkungan 60 hingga ke 75 tahun itu dapat memanfaatkan program berkenaan.

Katanya, melalui program itu, pihak kerajaan melalui MAINS turut mengeluarkan wang saku, urusan pasport dan kesihatan.

Dalam ucapannya pada majlis pelancaran program itu di sini malam tadi, beliau juga meminta jemaah yang terpilih menjaga kesihatan sepanjang berada di dua tanah suci Makkah dan Madinah dan semoga umrah mereka diterima Allah SWT.

Ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Mohd Zafir Ibrahim, yang mewakili Menteri Besar melancarkan program itu.

Hadir sama Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd. (Andalusia) Ida Riswana Idris, Pengerusi MAINS Abd Aziz Syeikh Abdul Kadir, Pengerusi Eksekutif Andalusia  Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia Ibrahim Mat Sin.

Aminuddin berkata, objektif utama program ini adalah untuk meraikan golongan asnaf yang terpilih dari seluruh Negeri Sembilan untuk mengerjakan umrah di mana pemilihan mereka berdasarkan beberapa kriteria termasuk usia dan pendapatan .

“Mewakili pihak Kerajaan Negeri Sembilan, ribuan terima kasih saya ucapkan kepada pihak Andalusia kerana memberi peluang kepada rakyat Negeri Sembilan untuk mengerjakan ibadah yang cukup mulia ini,” katanya.

Beliau turut mendoakan kesihatan dan kesejahteraan para peserta ketika menunaikan umrah dan selamat pulang semula ke tanah air.

Sementara itu Ida Riswana dalam ucapannya berkata, program tahunan Andalusia itu adalah merupakan salah satu usaha syarikat berkongsi rezeki secara nyata dalam menciptakan perubahan yang bermakna kepada masyarakat.

“Kami percaya bahawa keberhasilan Andalusia tidak sepatutnya hanya terukur melalui keuntungan kewangan semata-mata tetapi juga dari kesan positif yang boleh kami ciptakan bagi masyarakat sekeliling,” katanya.

Beliau berkata, program kelima itu adalah susulan program 4.0 yang pertama kali diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri iaitu Pahang.

“Program ini adalah untuk membantu golongan asnaf yang ingin menunaikan umrah sekali seumur hidup dan dalam masa sama menjejakkan kaki ke Baitullah dan menziarahi Rasulullah SAW yang merupakan impian setiap umat Islam

Harapan kami kepada jemaah asnaf yang terpilih dapat beribadah sebaik mungkin dan dapat membawa balik pengertian dan ilmu bahawa Islam itu indah,” katanya.

Sebelum ini, program asnaf yang bermula pada tahun 2016 turut melibatkan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2018 dan 2019.

Melalui program kelima ini, selain dari Negeri Sembilan, Andalusia turut menaja asnaf dari Sabah (7), Kelantan (15), Wilayah Persekutuan (10) dan Melaka (2).

Foto MB & MAINS

1. Mohd Zafir Ibrahim (kiri) menyampaikan sumbangan sambil diperhatikan Ida Riswana dan Abd Aziz Syeikh Abdul Kadir (duadari kanan)

Related posts

Leave a Comment