SPRM nafi dakwaan Rafizi

PUTRAJAYA 7 Dis. –   Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan tidak berasas oleh Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli berhubung satu siasatan berkaitan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mei lalu.

Dalam kenyataannya, SPRM menyifatkan tuduhan bahawa suruhanjaya itu diperalat untuk menyiasat calon-calon yang bakal bertanding dalam pemilihan PKR sebagai tidak berasas dan tidak benar sama sekali.

Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi menyentuh perkara itu melalui podcast Yang Berhenti Menteri baru-baru ini.

Menjawab tuduhan mengenai dakwaan pegawai SPRM ‘mengepung rumah’ individu tertentu, SPRM menjelaskan bahawa kehadiran pegawai penyiasat ke kediaman berkenaan adalah prosedur biasa bagi tujuan penggeledahan dan mendapatkan bahan bukti.

Menerusi satu kenyataan, SPRM menjelaskan elemen kejutan (element of surprise) dalam serbuan adalah kaedah siasatan standard untuk mengelakkan risiko pelupusan bukti.

“Walau bagaimanapun, pegawai SPRM telah beredar selepas mendapati individu berkenaan tiada di rumah ketika itu.

Individu berkenaan kemudiannya hadir sendiri ke pejabat SPRM pada keesokan harinya untuk dirakam percakapan dan telah dibebaskan tanpa sebarang penahanan,” kata  kenyataan, itu.

Menurut SPRM, setiap siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan aduan yang mempunyai asas dan melalui proses pengesahan mengikut undang-undang, bukannya agenda politik.

Sehubungan itu, SPRM menyeru semua pihak berhenti membuat tohmahan terbuka di media sosial tanpa bukti yang kukuh kerana ia boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara.

Bagi pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan SPRM, mereka dinasihatkan

untuk menggunakan saluran rasmi yang telus seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM. Ini adalah mekanisme yang sah dan telus untuk menilai sebarang dakwaan salah laku.

Nnnn

 

Related posts

Leave a Comment