PUTRAJAYA 13 Ogos – Seramai 96 calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri semalam, hilang wang deposit apabila gagal memperoleh 1/8 atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.
Daripada jumlah itu semua calon daripada Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) terpaksa melepaskan kesemua deposit mereka apabila kecundang dalam cubaan merebut tempat di 20 DUN yang ditandingi.
Antara calon MUDA yang tewas ialah Setiausaha Agungnya, Amir Hariri Abd Hadi yang memperoleh 1,834 undi di DUN Seri Serdang manakala R. Thanusha mendapat 2,357 undi di DUN Sentosa.
Ketua Penerangan MUDA, Loqman Long, turut kecundang dan hanya meraih 372 undi di DUN Bandar, Terengganu, manakala di Pulau Pinang, calonnya Vikneswary Harikrishnan, hanya mendapat 253 undi di DUN Perai.
Sementara itu Ng Sze Han calon daripada Pakatan Harapan (PH) memperoleh undi tertinggi iaitu 71,290 dengan menewaskan pencabarnya Wong Yong Kang daripada Perikatan Nasional (PN) yang hanya memperoleh 16,755 undi di DUN Kinrara.
Calon DUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin dari PN menang dengan majoriti terkecil hanya 30 undi apabila mendapat 22,316 undi dalam pertarungan satu lawan satu.
Manakala calon paling tua dalam pilihan raya negeri kali ini iaitu Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Malaysia (PRM) MS Ravinder Singh, 80, tewas dalam pertandingan empat penjuru di DUN Pantai Jerejak menentang calon PH Fahmi Zainol , Oh Tong Keong daripada PN dan calon Muda Loh Xiang Pin.
Dengan keputusan hanya 76 undi bekas guru (Ravinder) itu terpaksa menerima hakikat kehilangan wang deposit .
Calon termuda Melanie Ting Yi-Hlin, 23, juga terpaksa akur dengan kekalahan apabila hanya memperoleh 1,462 undi sekali gus hilang wang deposit.
Ting, yang juga Ketua Turus Penerangan MUDA, berdepan persaingan tiga penjuru di DUN Bukit Antarabangsa membabitkan calon PH Mohd Kamri Kamaruddin yang mendapat 30,772 undi dan Shasha Lyna Abdul Latif daripada PN yang memperoleh 14,492 undi.
